Idan Aedan akui selebriti mudah jadi sasaran ugutan, kecaman - Utusan Malaysia

Idan Aedan akui selebriti mudah jadi sasaran ugutan, kecaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon, Idan Aedan mengakui golongan selebriti dan penggiat seni lebih mudah menjadi sasaran ugutan serta kecaman berikutan keterbukaan kehidupan mereka yang sering menjadi perhatian umum.

Menurut Idan, individu yang terlalu terbuka berkongsi rutin harian dan jadual peribadi di media sosial berisiko lebih tinggi menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, dia berpendapat golongan selebriti perlu lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi, selain mengingatkan pengguna media sosial supaya menjaga batas ketika memberikan komen terhadap orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa industri hiburan sememangnya sangat terdedah kepada perhatian orang ramai, terutamanya golongan selebriti. Saya sendiri tidak menganggap diri sebagai seorang selebriti dan sentiasa menjaga privasi kehidupan peribadi.

“Saya agak bimbang terhadap individu yang terlalu terbuka berkongsi jadual harian mereka, termasuk ke mana mereka pergi pada waktu pagi, sama ada ke gimnasium atau melakukan aktiviti lain. Golongan sebegini lebih mudah menjadi sasaran dan perkara itu sangat berbahaya.

“Jadi, bagi saya, individu yang mempunyai pengaruh atau populariti perlu menjaga privasi masing-masing. Begitu juga pengguna media sosial di luar sana, jagalah tutur kata dan batas ketika memberikan komen,” katanya ketika ditemui selepas tayangan filem Kacau.

Mengulas lanjut mengenai ugutan bunuh yang pernah diterimanya sebelum ini, Idan memaklumkan perkara berkenaan masih dalam proses perundangan,namun dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan isu tersebut kerana sudah menyerahkan urusannya kepada pihak peguam.

“Namun, dari segi mental, saya sudah meninggalkannya jauh di belakang. Saya tidak mahu terlalu banyak mengulas mengenainya, tetapi sekiranya ada apa-apa yang diperlukan daripada saya, saya tetap akan memberikan kerjasama.

“Urusan itu juga sudah diserahkan kepada peguam untuk tindakan selanjutnya. Saya memilih untuk tidak lagi membebankan fikiran dengan perkara tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon itu mengakui masih menerima komen negatif serta mesej langsung (DM) yang tidak menyenangkan meskipun isu berkenaan tidak lagi mendapat perhatian seperti sebelumnya.

Namun, Idan bersyukur kerana mempunyai keluarga dan sistem sokongan yang positif sehingga membantunya berdepan situasi berkenaan tanpa terlalu terkesan dari segi emosi.

Katanya, sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan dirinya mampu mengharungi tekanan akibat kecaman dan serangan di media sosial.

“Namun, saya terfikir bagaimana sekiranya perkara sebegini berlaku kepada individu yang tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat. Tidak mustahil mereka boleh mengambil tindakan yang lebih buruk terhadap diri sendiri, termasuk membunuh diri.

“Saya mungkin boleh bersikap tenang menghadapi perkara ini, tetapi kita tidak tahu sama ada orang lain mampu menerimanya atau tidak. Sebab itu, saya melihat perkara sebegini sebagai sesuatu yang sangat serius dan berbahaya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Idan menegaskan pengguna media sosial tidak seharusnya terlalu mudah membuat penilaian atau mengeluarkan kenyataan melampau tanpa mengetahui keseluruhan cerita serta mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak.

Jelasnya, tindakan mengecam seseorang berdasarkan maklumat yang tidak lengkap boleh mendatangkan kesan buruk, lebih-lebih lagi kepada individu yang berdepan masalah emosi atau tidak mempunyai sokongan daripada orang sekeliling.

“Saya rasa jika kita tidak mengetahui keseluruhan cerita dan tidak mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak, sebaliknya hanya melihat apa yang dipaparkan, janganlah terlalu cepat membuat penilaian atau mengeluarkan kenyataan yang melampau.

“Sebagai pengguna media sosial, kita perlu sedar bahawa setiap kata-kata yang ditulis boleh memberikan kesan kepada orang lain. Kita mungkin menganggapnya perkara kecil, tetapi bagi individu yang menerimanya, kesannya mungkin sangat besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini