Pelancong boleh pantau paras air Selatan Thailand

Pelancong boleh pantau paras air Selatan Thailand

PARAS air di jambatan penting dan titik pemerhatian di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani boleh dipantau secara terus melalui pautan dalam talian, https://cctv.it4sc-connect.com/.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Rak­yat Malaysia yang merancang melakukan perjalanan ke Selatan Thailand ketika musim tengkujuh kini boleh memantau sendiri paras air di jambatan penting dan titik pemerhatian di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, melalui dalam talian.

Kemudahan 24 jam itu disediakan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar jambatan dan titik pemantauan utama di ketiga-tiga wilayah itu, mulai kelmarin.

Jurucakap DDPM berkata, penduduk tempatan dan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke ketiga-tiga wilayah itu boleh memantau paras air dengan menyemak imej kamera CCTV yang dikemaskini melalui pautan https://cctv.it4sc-connect.com/.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disebabkan hujan lebat dan terkumpul di banyak kawasan di Selatan Thailand, orang ramai termasuk pelancong perlu memantau dengan teliti situasi banjir kilat, tanah runtuh dan paras air di sungai-sungai utama, bagi memudahkan membuat persediaan.

“Sistem ini memaparkan imej daripada kamera CCTV di pelbagai titik pemerhatian, bersama-sama dengan maklumat paras air kritikal di setiap kawasan, untuk membantu orang ramai memantau keadaan dan menilai risiko awal dengan lebih mudah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, melalui data sistem pemantauan bencana alam di sepanjang lembangan sungai dan komuniti, orang ramai boleh menyemak imej di jambatan dan sungai penting, paras air di pelbagai titik pemantauan, perbandingan paras air semasa dengan paras air kritikal, sejarah paras air dan pilihan wilayah yang ingin dipantau.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Meteorologi mula mengeluarkan amaran banjir di tiga wilayah berkenaan mulai kelmarin susulan hujan lebat berterusan.

“Jabatan Meteorologi menyatakan hujan di Selatan Thailand semakin berkurangan disebabkan oleh pengukuhan Monsun Timur Laut, tetapi hujan lebat masih dijangka di beberapa kawasan.

“Bagaimanapun, peta ramalan harian mengenal pasti enam wilayah sebagai kawasan yang perlu diperhatikan melibatkan Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, dan Narathiwat,” katanya

Menurutnya, Jabatan Meteorologi juga memberi amaran risiko banjir pada Selasa dan Rabu kerana gelombang baharu monsun mungkin membawa lebih banyak hujan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini