TANGKAK : Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 159.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dI sini semalam dalam perjalanan pulang menghantar anak ke universiti.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 49 tahun serta anak lelaki berusia 14 tahun dan cucu berusia dua tahun.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 1.15 petang yang melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena yang dipandu oleh suami kepada mangsa wanita tersebut.
“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dinaiki sebuah keluarga sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghantar salah seorang anak mereka ke sebuah universiti di Melaka.
“Kenderaan yang dinaiki kemudian hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan lalu mengakibatkan tiga penumpang maut.
“Mereka yang meninggal dunia ialah seorang wanita yang berada di tempat duduk hadapan serta anak lelaki dan cucu yang duduk di bahagian belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kenderaan berkenaan bersama-sama dua lagi penumpang lain mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
“Kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Jamellulkamal memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-9825324. – UTUSAN











