UNTUK menghidupkan nilai Islam dalam sesebuah filem, pengarah tidak semestinya perlu menyelitkan ceramah atau tazkirah tetapi cukup dengan mengangkat kisah kehidupan yang dekat dengan hati penonton.
Itu pandangan yang turut dipersetujui oleh pelakon dan pengarah berkaliber, Fauziah Datuk Ahmad Daud, 64, atau lebih mesra disapa Kak Ogy.
Bagi Ogy, dia lebih tertarik kepada pendekatan yang memperlihatkan keindahan Islam sebagai cara hidup tanpa perlu terlalu menekankan unsur dakwah secara langsung dan jelas.
“Saya suka karya yang membawa nilai agama, tetapi tidak disampaikan secara berlebihan melalui khutbah atau tazkirah. Saya mahu keindahan Islam ditampilkan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Saya suka perkara yang dekat dengan hati penonton. Realisme, betul tidak? Kita sebenarnya melihat perkara itu setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pendekatan realisme itu, menurut Ogy, mengetengahkan kisah kehidupan manusia sebagaimana yang berlaku di sekeliling mereka, sekali gus membolehkan penonton menghayati mesej tanpa terasa seperti sedang diberi ceramah.
Malah, dia percaya unsur komedi sekalipun tidak menghalang sesebuah karya daripada menyampaikan nilai Islam kerana mesej yang baik boleh hadir dalam pelbagai bentuk penceritaan.
“Walaupun komedi, ada juga unsur itu. Jadi, saya suka kerana apabila saya menghasilkan cerita seperti ini, banyak ilmu yang saya dapat,” katanya.

Pengalaman mengarahkan karya berteraskan nilai kehidupan dan agama turut membuka ruang kepada Ogy untuk terus belajar, meskipun sudah enam dekad berada dalam industri seni.
“Bagi saya, proses pembelajaran itu tidak pernah berhenti. Begitu juga dengan seni lakon, tidak ada noktahnya,” katanya.
Pegangan itu turut menjadi sebahagian daripada pendekatan Ogy ketika mengarahkan filem pendek terbaharunya, Diam Yang Bergema, yang mengangkat kisah seorang remaja ‘down syndrome’ dalam perjalanan memahami pengalaman spiritual yang dialami watak itu.
Pengalaman mengarahkan filem berkenaan juga membawa dimensi baharu buat Ogy apabila buat pertama kali sepanjang perjalanan seninya, dia membimbing bakat lakonan daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Katanya, peluang tersebut bermula apabila dia menemui Farid Irfan Ghazali yang menggalas watak, Sufi, menerusi sesi uji bakat di sebuah rumah penjagaan OKU sebelum penggambaran filem berkenaan.
“Saya sangat bersyukur dapat mencungkil bakat Irfan menerusi sesi uji bakat itu. Saya nampak bakatnya yang sangat organik dan itulah yang saya mahu tonjolkan dalam Diam Yang Bergema.
“Terus terang, saya perlu masuk ke dalam dunianya terlebih dahulu dan memahami pemikiran, sikap serta kemahuannya. Saya terharu kerana Irfan seorang anak istimewa yang cepat memahami dan mampu berlakon mengikut kehendak skrip,” katanya.
Filem pendek berdurasi kira-kira 30 minit itu mengisahkan Sufi, seorang remaja pekak dan bisu yang mengalami getaran dalam hatinya setiap kali azan berkumandang sehingga mendorongnya mencari jawapan terhadap pengalaman spiritual itu.
Karya berkenaan merupakan cerita asal Ogy sendiri, manakala skripnya ditulis A Wahid Nasir bersama SlenFadzil.
Filem berkenaan turut terpilih untuk ditayangkan di pawagam GSC sempena Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35), sekali gus membuka ruang kepada penonton menghayati kisah yang menggabungkan pengalaman kehidupan, nilai agama dan perjalanan seorang anak istimewa.
Ogy berkata, kisah yang diketengahkan menerusi filem itu turut memberi ruang kepada penonton melihat pengalaman spiritual daripada sudut seorang anak istimewa yang mempunyai cara tersendiri memahami persekitarannya.
“Saya mahu cerita ini dekat dengan penonton dan mereka dapat merasakan apa yang dialami oleh watak itu. Saya tidak mahu mesejnya disampaikan secara berlebihan tetapi biarkan penonton memahami sendiri melalui cerita,” katanya.











