Menyelam ke dasar laut bukan sekadar aktiviti rekreasi untuk mencari ketenangan atau melepaskan penat daripada kesibukan rutin harian.
Sebaliknya, pengalaman berada di bawah permukaan air membuka jendela baharu untuk meneroka dunia tersembunyi yang penuh dengan keajaiban alam.
Di sebalik hamparan biru laut, tersimpan pelbagai khazanah yang mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran.
Daripada ikan berwarna-warni, penyu yang berenang tenang hinggalah hidupan mikro yang unik, setiap satunya menawarkan pengalaman tersendiri kepada mereka yang menyelami keindahan dasar laut.
Antara yang mencuri perhatian saya ialah nudibrankia atau lebih dikenali sebagai nudibranch.
Biarpun bersaiz kecil, haiwan laut ini memiliki warna dan corak mempesona, seolah-olah lukisan seni yang hidup di celahan terumbu karang.
Saya berpeluang mengenali spesies ini ketika menyertai program Start In Tioman (SIT) 2026 di Pulau Tioman, Pahang, baru-baru ini.
Pengalaman menyelam di beberapa lokasi sekitar pulau itu menemukan saya dengan pelbagai jenis nudibrankia yang sebelum ini hanya dikenali menerusi gambar dan bacaan.
Ada yang menyerupai ulat, semut dan udang, malah terdapat juga spesies yang mengingatkan saya kepada watak Pikachu.
Bentuknya cukup unik, manakala nama saintifiknya pula bukan mudah untuk diingati, antaranya Goniobranchus coi, Flabellina affinis, Chelidonura amoena dan Phyllidia varicosa.
Pertemuan itu menyedarkan saya keindahan dasar laut tidak hanya bergantung pada hidupan bersaiz besar yang lazimnya menjadi tumpuan penyelam.
Makhluk kecil yang perlu diperhatikan dengan teliti juga mempunyai keistimewaan tersendiri.
Lebih menarik, nudibrankia bukan sekadar haiwan laut yang cantik dipandang.
Menurut seorang rakan yang meminati nudibrakia, hidupan itu merupakan pemangsa yang memakan pelbagai hidupan seperti span, hidroid, anemon laut dan telur ikan.
Ada juga spesies yang memakan nudibrankia lain.
Sesetengahnya mampu menyimpan sel penyengat daripada mangsa untuk tujuan pertahanan, manakala ada yang menyerap bahan toksik daripada makanan sehingga menjadikan tubuhnya tidak menyenangkan kepada pemangsa.
Dengan lebih 3,000 spesies di seluruh dunia, nudibrankia memperlihatkan betapa luas dan menakjubkannya kepelbagaian hidupan marin.
Warna terang serta corak pada tubuhnya bukan sekadar hiasan semula jadi, sebaliknya turut berfungsi sebagai isyarat amaran kepada pemangsa.
MENYELAM, BELAJAR DAN MENGHARGAI ALAM
Keunikan nudibrankia hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang saya peroleh di pulau peranginan ini.
Bagi saya, aktiviti menyelam bukan sahaja memberi peluang melihat keindahan dasar laut dari dekat, malah melatih seseorang mengawal pernafasan, mengurus daya apungan dan bergerak dengan tenang tanpa mengganggu ekosistem marin.
Pengalaman itu juga menuntut kesabaran serta ketelitian kerana setiap selaman membuka peluang menemukan hidupan yang berbeza.
Bagi penyelam baharu, ia menjadi ruang untuk mempelajari kemahiran asas sebelum meneroka lokasi lebih mencabar mengikut tahap kelayakan masing-masing.
Menurut Pengarah Projek SIT, Rizalman Syed Abu Bakar, program berkenaan merupakan penganjuran kali ke-16 yang disertai lima peserta kursus Open Water dan 20 penyelam bertauliah.
Selain aktiviti menyelam, program itu turut merangkumi pembersihan pantai dan dasar laut serta usaha menaikkan pukat hantu di lokasi selaman Jahat dan Mukut.
“SIT 2026 dijayakan dengan Kerjasama Persatuan Rekreasi Alam dan Kehijauan AKAR, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan Tourism Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rekreasi Alam dan Kehijauan (AKAR), Datuk Idros Yahya berkata, pihaknya akan meneruskan pelbagai inisiatif pemuliharaan termasuk konservasi penyu, penanaman terumbu karang serta pembersihan pantai dan lokasi selaman.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kekayaan flora dan fauna Pulau Tioman terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Malah, kita akan perluaskan lagi program-program berkaitan pemeliharaan alam sekitar dan hidupan marin di kawasan lain pada masa akan datang,” jelasnya.-UTUSAN











