Penduduk Pulau Tioman dakwa terbeban, kuota petrol tidak cukup

Penduduk Pulau Tioman dakwa terbeban, kuota petrol tidak cukup

FAKTOR geografi Pulau Tioman di Rompin, Pahang yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bot menjadikan petrol subsidi sebagai keperluan asas utama penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Penduduk Pulau Tioman di sini, berdepan tekanan berganda apabila kuota petrol subsidi didakwa tidak mencukupi dan kenaikan tambang kargo yang menjejaskan kelangsungan hidup serta ekonomi tempatan di situ.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tioman, Abd. Hafaz A. Hamid berkata, kuota semasa sebanyak 1,000 liter seminggu tidak lagi mencukupi untuk menampung keper­luan harian masyarakat ter­utama sektor pengangkutan laut dan aktiviti ekonomi.

“Ketika musim monsun, penggunaan minimum diesel mencecah 2,700 liter seminggu manakala semasa musim puncak, pelancongan boleh melonjak sehingga 15,000 liter. Kuota sedia ada tidak relevan dengan keperluan semasa.

“Jadi, penduduk terpaksa membeli minyak mengikut harga pasaran. Penduduk turut terbeban dengan kenaikan tambang kargo. Untuk makluman perkhidmatan kargo juga tidak mendapat kemudahan diesel subsidi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Difahamkan, keadaan penduduk di Pulau Tioman semakin membebankan apabila syarikat penghantaran Mutiara Kargo Enterprise mengumumkan kenaikan tambang kargo berkuat kuasa 30 Mac lalu.

Antara kadar baharu dikenakan adalah minyak petrol daripada RM7 kepada RM9, gas masak daripada RM8 kepada RM10, motosikal daripada RM60 kepada RM90 dan guni beras, jagung dan arang daripada RM10 kepada RM12.

Kenaikan itu memberi kesan langsung kepada kos sara hidup penduduk pulau kerana hampir semua barangan keperluan harian perlu dihantar melalui perkhidmatan kargo dari tanah besar.

Abd. Hafaz berkata, harga barang runcit di pulau peranginan itu semakin meningkat dan menekan golongan berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada sumber ekonomi kecil seperti pelancongan, perikanan serta perniagaan kecil-kecilan.

“Sebagai destinasi pelancongan utama negara, Pulau Tioman wajar diberikan pertimbangan khas agar kebajikan masyarakat dan kelangsungan ekonomi terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, jika dua isu tersebut tidak ditangani segera, ia boleh menjejaskan imej Pulau Tioman sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa kerana kos operasi pengusaha pelancongan turut meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN