Mahsuri, SEGi College Penang perkasa kemahiran cef muda - Utusan Malaysia

Mahsuri, SEGi College Penang perkasa kemahiran cef muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama antara Mahsuri Dagang dan SEGi College Penang memberi peluang kepada pelajar bidang kulinari meningkatkan kemahiran memasak serta memperoleh pendedahan industri menerusi latihan praktikal dan pertandingan masakan.

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi penganjuran Malaysian Flavours Culinary Challenge pada 16 November lalu yang memberi peluang kepada pelajar mengetengahkan kreativiti dalam menghasilkan hidangan berinspirasikan cita rasa tempatan.

Pertandingan tersebut merupakan kesinambungan bengkel kulinari yang dikendalikan Mahsuri Dagang pada 16 Oktober lalu membabitkan pelajar program Diploma Seni Kulinari dan Sijil Operasi Hotel di kolej berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi bengkel itu, pelajar didedahkan kepada pelbagai teknik masakan, pembangunan rasa serta penggunaan kreatif produk Mahsuri dalam penyediaan hidangan tempatan.

Pengetahuan yang diperoleh kemudian diaplikasikan dalam pertandingan tersebut apabila peserta perlu menghasilkan hidangan bercita rasa Malaysia menggunakan kreativiti dan pendekatan masing-masing.

Selain menguji kemahiran memasak, pertandingan itu turut memberi penekanan terhadap aspek kerja berpasukan, disiplin, ketelitian serta keupayaan membuat keputusan dalam tempoh ditetapkan.

Menurut pihak SEGi College Penang, pembelajaran secara praktikal penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah bersedia menghadapi cabaran industri kulinari dan hospitaliti.

Pendekatan itu turut membolehkan pelajar membina keyakinan diri, meneroka idea baharu serta mengembangkan kemahiran profesional melalui pengalaman di luar bilik kuliah.

Pada masa sama, kerjasama dengan pemain industri seperti Mahsuri Dagang membolehkan pelajar memperoleh pendedahan secara langsung terhadap teknik dan pengetahuan yang relevan dengan keperluan industri makanan.

Pihak kolej turut menghargai komitmen Mahsuri Dagang dalam berkongsi kepakaran industri serta berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang kulinari negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini