PETALING JAYA: Skuad boling kebangsaan menutup aksi dengan dua pingat perak menerusi pemain muda, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin dan Adelia Nur Irwan Syazalee dalam acara Masters pada hari terakhir Kejohanan Tenpin Boling Asia di Doha, Qatar, kelmarin.
Bagaimanapun, barisan pemain negara cukup cemerlang apabila mengekalkan dominasi mereka di pentas Asia selepas mengungguli kedudukan keseluruhan dengan tujuh pingat emas, enam perak dan dua gangsa.
Walaupun hanya kurang satu pingat emas berbanding pencapaian terbaik Malaysia iaitu lapan emas pada Kejohanan Asia di Bangkok, Thailand, dua tahun lalu, tetapi kejayaan pasukan kebangsaan kali ini dilakar dengan kehadiran pemain muda.
Dalam acara Masters lelaki, Izz Naqiuddin, 22, berada dalam kedudukan terbaik selepas mengungguli 16 permainan dengan 3,887 jatuhan pin, diikuti Rafiq (3,820 pin) dan wakil Korea Selatan, Lee Jung Soo (3,786 pin).
Bagaimanapun, hasrat Rafiq untuk meraih gelaran Masters ketiga berturut-turut tidak kesampaian apabila dia tewas pada separuh akhir stepladder dengan jatuhan pin 238 berbalas 257 berpihak kepada Jung Soo.
Tersingkirnya Rafiq, menemukan Izz Naqiuddin dengan Jung Soo pada final, namun, pemain muda Malaysia itu hanya mencatat 397 jatuhan pin daripada dua permainan berbanding 456 jatuhan pin yang disempurnakan wakil Korea Selatan tersebut.
Nasib serupa dialami dalam acara Masters wanita, apabila juara remaja dunia, Adelia, 19, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 458-492 jatuhan pin kepada seorang lagi wakil Korea Selatan, Nam Hye Bin. – UTUSAN











