PETALING JAYA: Mahu membuka lembaran baharu dalam kehidupan, pelakon, Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 26, meminta orang ramai supaya tidak lagi mengaitkan dirinya dengan pertandingan Dewi Remaja yang pernah disertainya sebelum ini.
Haneesya menerusi Instagram memaklumkan, dia menghargai sokongan peminat yang masih mengingatinya sehingga hari ini, namun mahu diberikan ruang untuk meneruskan kehidupan tanpa dibayangi gelaran tersebut.
“Ke mana sahaja saya pergi, mesti ada yang panggil ‘Eh, DR!’ atau ‘Eh, itu Haneesya DR!’.
“Kalau boleh, tolong berhenti kaitkan saya dengan Dewi Remaja lagi. Pertama, gelaran itu sudah bukan hak milik saya kerana telah ditarik balik.
“Kedua, saya bukan lagi remaja dan paling penting, saya cuma mahu meneruskan kehidupan,” katanya di Instagram.
Menurut pelakon filem Malam Terlarang itu, penyertaannya dalam pertandingan tersebut hanyalah satu daripada episod kehidupannya dan bukan sesuatu yang menentukan keseluruhan identiti dirinya.
Malah, dia mempunyai impian lebih besar daripada sekadar dikenali kerana pernah menyertai pertandingan pencarian bakat itu.
“Saya mahu memberi inspirasi kepada orang lain. Saya mahu membawa sesuatu yang baik dalam dunia ini dan menjadi seseorang yang boleh membuatkan orang lain berasa dihargai, didengari serta lebih yakin dengan diri sendiri.
“Saya mahu menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura semata-mata untuk memenuhi jangkaan orang lain atau demi kepentingan hiburan dan tontonan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haneesya memahami segelintir pihak yang masih mengaitkannya dengan Dewi Remaja mungkin berniat baik namun perkara tersebut boleh membangkitkan kembali kenangan yang sudah lama cuba ditinggalkannya.
“Saya bukan minta orang melupakan masa lalu saya. Saya cuma minta ruang untuk terus berkembang tanpa perlu sentiasa dikaitkan dengan perkara sama.
“Nama saya Sharifah Haneesya, bukan Haneesya DR. Saya tidak mahu dikenang hanya kerana gelaran yang sudah lama bukan milik saya.
“Saya mahu orang mengenali saya kerana siapa saya hari ini, apa yang saya perjuangkan dan kebaikan yang cuba saya bawa dalam kehidupan orang lain,” katanya.
Untuk rekod, dia pernah memenangi Dewi Remaja pada edisi 2018/2019.
Namun, Gelaran Haneesya selaku juara Dewi Remaja 2018/2019 dilucutkan selepas timbul dakwaan dia berpesta di sebuah kelab malam.











