Kawalan ketat elak pencemaran Sungai Perak - Utusan Malaysia

Kawalan ketat elak pencemaran Sungai Perak

SAARANI Mohamad menjawab soalan mengenai Sungai Perak semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh, Perak hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebarang pembangunan yang memberikan kesan langsung terhadap Sungai Perak akan dipantau dan diperketat bagi memastikan sungai itu tidak tercemar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemantauan itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA) bersama Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan.

“Saya memahami isu yang dibangkitkan iaitu kemungkinan berlaku pencemaran air di Sungai Perak yang berpunca daripada air buangan dari kampung, taman perumahan dan bandar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada LPSA yang akan mengkaji dan melihat masalah ini kerana sangat penting untuk memastikan hidupan di dalam Sungai Perak tidak diracuni ataupun tidak mati akibat daripada pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Berhanudin Ahmad (Pas-Manong) yang bertanyakan usaha kerajaan negeri berhubung dengan pembangunan dan pemeliharaan Sungai Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Saarani berkata, pengurusan serta tindakan kawalan di kawasan sungai telah diperincikan di bawah pelan pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) negeri.

“Draf rancangan struktur negeri menggariskan bahawa kawasan sepanjang Sungai Perak perlu tertakluk kepada kawalan pembangunan berskala terhad atas faktor kekangan fizikal serta fungsi utamanya sebagai pemeliharaan alam semula jadi dan sumber air mentah negeri,” katanya.

Katanya, jajaran Sungai Perak sepanjang 400 kilometer mempunyai potensi besar dalam sektor perikanan, pelancongan dan penjanaan tenaga, namun begitu tambah Saarani, pelaksanaannya berdepan beberapa cabaran kritikal.

“Dari segi fizikal, masalah alur sungai yang cetek akibat pemendapan pasir serta kekurangan infrastruktur jeti menyukarkan pergerakan bot nelayan dan pelancong.

“Pada masa yang sama, status Sungai Perak sebagai KSAS dan sumber air mentah utama negeri menuntut kawalan ketat terhadap risiko pencemaran, aktiviti pengorekan pasir serta persaingan permintaan air daripada sektor perindustrian,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri bersama agensi teknikal melaksanakan langkah mitigasi berpandukan prinsip Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IRBM) seperti pemantauan hidraulik, pengorekan mendapan pasir dan pembersihan alur secara berfasa.

Sementara itu, Saarani berkata projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian merupakan usaha sama kerajaan Pusat dan negeri, serta menolak dakwaan wujudnya penglibatan pemimpin parti politik dalam hal tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini