RANTAU PANJANG: Banjir yang mula melimpah Kampung Lanchang, di sini menenggelamkan padang ragut sehingga memaksa seorang penternak lembu mencerut rumput di sungai bagi memberimakan kepada ternakannya.
Sabri Sulaiman, 25, berkata, dia terpaksa mencerut rumput di dalam sungai berhampiran kerana padang ragut sudah ditenggelami air disebabkan limpahan air Sungai Lanchang.
“Ketika musim banjir tiada lagi rutin membawa lembu ke padang ragut. Sebaliknya saya perlu menyusuri sungai mencerut rumput di tebing yang sudah ditenggelami air akibat limpahan Sungai Lanchang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabri berkata, walaupun sungai Lanchang sudah melimpah namun keadaan itu bukanlah seperti banjir besar.
Menurutnya, rumput yang dicerut itu untuk bekalan 10 ekor lembu selain turut memberi makan dedak bagi memastikan ternakannya itu mendapat bekalan makanan mencukupi ketika musim banjir ini.
Katanya, sumber makanan ternakan dibimbangi akan terjejas sekiranya banjir besar berlaku kerana air banjir melepasi paras satu meter.
“Ketika itu, semua padang rumput tenggelam dan air banjir akan mencecah paras bumbung rumah.
“Lembu peliharaan saya juga akan dipindahkan di kawasan Benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok,” katanya.
Menurutnya, setiap kali banjir dia sekeluarga bukan sahaja terpaksa berpindah di pusat pemindahan tetapi perlu memastikan haiwan peliharaannya selamat daripada ancaman banjir. – UTUSAN











