1,745 pegawai dan anggota polis Kelantan dikerahkan untuk banjir - Utusan Malaysia

1,745 pegawai dan anggota polis Kelantan dikerahkan untuk banjir

Seramai 1,745 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat secara langsung bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 1,745 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat secara langsung bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah tersebut seramai 557 anggota ditempatkan dalam 80 pasukan penyelamat, 352 anggota di bilik gerakan banjir, manakala seramai 836 anggota dalam tugas siap siaga.

Katanya, sebanyak 55 buah bot akan digunakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kontinjen Kelantan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi musim banjir dalam membantu menyelamatkan mangsa. Saya ingin menegaskan agar setiap pasukan memberi keutamaan tetutama kepada warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya semasa
pemindahan, selain maklumat penutupan jalan dan lokasi pusat pemindahan.

“Selain itu, sebarang maklumat hendaklah disampaikan dengan pantas dan tepat melalui saluran rasmi. Ketika masyarakat berdepan musibah, kehadiran kita amat diperlukan,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini bilik gerakan juga belum beroperasi memandangkan tidak menerima maklumat kejadian banjir.

Katanya, penduduk kampung juga diminta supaya berwaspada terutama di kawasan yang sering berlaku banjir pada setiap tahun seperti di Tumpat, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Katanya, dalam pada itu mereka perlu mengetahui perkembangan semasa cuaca bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Sekiranya diarah berpindah, penduduk perlu berbuat demikian dengan memastikan semua dokumen penting dan lain-lain dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan rumah,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini