Setelah bertahun-tahun mengukir nama di persada antarabangsa menerusi karya berbahasa Inggeris, penyanyi, Yuna kini kembali menyelami akar muzik yang pernah menjadi titik permulaan perjalanan seninya.
Bukan sekadar mahu mengubat kerinduan peminat terhadap identiti muzik asalnya, kepulangan penyanyi penyanyi berusia 40 tahun itu menerusi album Melayu terbaharu, Senjata, turut menjadi ruang untuknya meluahkan kreativiti yang sekian lama terpendam.
Menariknya, dalam usaha memperkenalkan karya baharu kepada generasi pendengar yang semakin berubah, Yuna tetap memilih untuk mempertahankan identiti muzik yang pernah mengangkat namanya hampir dua dekad lalu.
“Sebenarnya, saya sangka akan berasa kekok, tetapi sebaliknya tidak. Mungkin kerana sudah terlalu banyak perkara yang terpendam dalam diri saya.
“Selepas beberapa tahun berada di Amerika Syarikat (AS) dan menghasilkan album berbahasa Inggeris, saya memang sudah lama menyimpan keinginan untuk menghasilkan lagu Melayu.
“Cuma sebelum ini, apabila berada di bawah syarikat rakaman, saya perlu mendapatkan persetujuan pihak label terlebih dahulu kerana setiap projek melibatkan peruntukan kewangan. Biasanya, cadangan untuk menghasilkan album Melayu tidak mendapat kelulusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Yuna, kebebasan bergerak sebagai artis bebas selepas tamat kontrak bersama syarikat rakaman antarabangsa membuka peluang untuknya merealisasikan impian tersebut menggunakan peruntukan sendiri.
“Sekarang, saya boleh menghasilkan album sendiri menggunakan bajet sendiri. Jadi, saya mahu memberikan sepenuh perhatian kepada album Melayu ini.
“Saya sudah lama mahu menghasilkan muzik yang mempunyai elemen alternative rock dan pop seperti lagu-lagu era 1990-an yang sering kita dengar dahulu. Saya mahu menghasilkan muzik seperti itu, tetapi dalam versi Yuna dan menggunakan bahasa Melayu,” jelasnya.
Mengulas penerimaan peminat, Yuna berkata, dia terharu apabila ramai menyambut baik karya terbaharunya, malah mengakui merindui pendekatan muzik yang pernah menjadi identitinya pada awal kemunculan.
“Selepas album ini dilancarkan, saya membaca komen-komen di YouTube. Ramai yang berkata, ‘Yuna, saya rindu Yuna versi ini.’ Saya sendiri pun merindui Yuna yang dahulu.
“Jadi, album ini boleh dianggap sebagai hadiah buat peminat yang mengikuti perjalanan muzik saya sejak zaman Myspace. Ketika zaman Myspace dahulu, kita menghasilkan muzik tanpa terlalu banyak tekanan,” kongsinya.
Bangga lagu jadi siulan ramai
Dalam pada itu, Yuna meluahkan rasa bangga apabila karya yang pernah menjadi identiti muziknya kini bukan sahaja dikenali peminat setia, malah terus menjadi pilihan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia.
Bagi penyanyi itu, kejayaan sesebuah lagu bukan semata-mata diukur menerusi pencapaian carta muzik atau jumlah pendengar, sebaliknya apabila karya tersebut mampu terus hidup dan dinyanyikan oleh orang ramai.
“Genre muzik ini tidak terhad kepada sesiapa sahaja. Contohnya, lagu Terukir Di Bintang. Apabila saya menghadiri majlis perkahwinan, ramai yang menyanyikan lagu itu.
“Malah, Datuk Seri Siti Nurhaliza pun suka menyanyikannya. Saya sangat bangga apabila melihat lagu yang saya hasilkan boleh dinyanyikan oleh sesiapa sahaja.
“Saya rasa seperti berjaya menghasilkan sebuah lagu rakyat, dalam erti kata lagu yang boleh dinikmati semua orang. Sesiapa sahaja boleh mengambil gitar dan menyanyikannya,” katanya.
Menurut Yuna, sejak awal pembabitannya dalam industri muzik, dia tidak pernah meletakkan batasan terhadap siapa yang boleh menikmati karya-karyanya.
“Sejak zaman Dan Sebenarnya lagi, saya memang mahu menghasilkan lagu yang membolehkan semua orang turut serta dan menikmatinya. Bagi saya, genre ini sangat santai, menyeronokkan dan mudah didekati. Perkara paling penting ialah orang ramai dapat menikmati muzik tersebut,” ujarnya.
Biarpun landskap muzik kini banyak dipengaruhi kemunculan genre dan trend baharu, Yuna tidak melihat perubahan tersebut sebagai alasan untuk meninggalkan identiti seninya.
“Saya rasa kita perlu sentiasa jujur dengan diri sendiri dan menghasilkan muzik yang benar-benar kita selesa. Saya faham sekarang cita rasa muzik sudah berubah. Mungkin ramai yang lebih meminati K-pop dan sebagainya. Tetapi bagi saya, setiap genre mempunyai tempat tersendiri.
“Saya sendiri merindui lagu-lagu seperti Avril Lavigne dan album rock era 2000-an. Jadi, saya mahu berseronok dengan muzik, mencuba sesuatu yang kreatif dan melihat apa yang boleh saya hasilkan menerusi hala tuju ini,” ujarnya.











