PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Wahab mendedahkan mahu menghidupkan kembali kisah di sebalik lagu hitnya, Kerana Terluka, menerusi sebuah lagu baharu yang dirancang sebagai kesinambungan lagu berkenaan.
Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, dia menemui lagu berkenaan beberapa bulan lalu, namun kurang tertarik kerana lagu itu berentak ‘mid-tempo’ dan bukannya balada seperti yang diinginkannya.
“Tengah cari dari tiga ke empat bulan yang lepas. Ada yang bagus tapi mid tempo dan bukan ballad.
“Kerana terluka memang tiada ganti. Tapi kita mahu buat kesinambungan,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Cinta Azali itu sebelum ini turut membuat hantaran di media sosial bagi mencari komposer yang dapat menghasilkan lagu balada seperti diinginkannya.
“Masih mencari lagi pop ballad iaitu kesinambungan Kerana Terluka. Mahu rekod
nanti. Kalau ada sesiapa mahu ciptakan, dipersilakan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Lagu Kerana Terluka nyanyian Nourul Wahab merupakan hasil ciptaan komposer Toyak bersama penulis lirik Allahyarham Mama Juwie menerusi album sulungnya yang diterbitkan pada tahun 1995.
Untuk rekod, lagu ini sebenarnya pernah ditawarkan kepada penyanyi lain sebelum diberikan kepada Nourul.











