‘Pernah susah, saya tertanya-tanya kenapa hidup kami berbeza?’- Mila Jirin - Utusan Malaysia

‘Pernah susah, saya tertanya-tanya kenapa hidup kami berbeza?’- Mila Jirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah membesar dalam sebuah rumah yang hanya diterangi cahaya pelita minyak tanah, siapa sangka anak kecil yang suatu ketika dahulu menikmati nasi berlaukkan minyak hasil gorengan ikan kini mampu membuka pintu rezeki buat ratusan insan.

Begitulah perjalanan hidup pemilik nama Norsyarmilla Jirin atau Mila yang menyimpan seribu satu kisah pahit serta perjuangan demi membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Bukan sekadar bergelut dengan kesempitan hidup, Mila juga sudah terbiasa menelan kata-kata sinis masyarakat yang memandang rendah terhadap keluarganya

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila tiba hari raya, saya melihat saudara-mara lain mempunyai pakaian cantik, barang kemas dan makanan yang sedap. Ketika itu, saya tertanya-tanya mengapa kehidupan kami berbeza?Ada yang memperlekehkan kehidupan kami kerana membeli beras secara timbang, makan telur hampir setiap hari atau terpaksa menjala ikan untuk mendapatkan makanan.

“Ayah saya juga tidak mempunyai kenderaan sendiri dan terpaksa meminjam kenderaan orang lain. Kalau Allah tidak meletakkan saya dalam keadaan itu, mungkin saya tidak akan berusaha sehingga ke tahap maksimum.

“Ketika meninggalkan kampung untuk menyertai AF pada 2007, saya mempunyai satu niat yang sangat jelas iaitu mahu membawa keluarga keluar daripada kemiskinan,” katanya kepada Pancaindera.

Meskipun dirinya kini berada di tahap yang selesa, wanita pertama yang merangkul gelaran juara Akademi Fantasia Musim Kelima (AF5) itu menganggap dia belum berjaya selagi impian bersama suami tercinta untuk membina sebuah masjid belum terlaksana.

“Sejujurnya, saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seseorang yang sudah berjaya. Saya masih bergelut dalam kehidupan kerana ada impian besar yang belum tercapai.

“Bagi saya, kejayaan sebenar yang saya idamkan adalah apabila suatu hari nanti saya dan suami dapat membina sebuah masjid. Saya mahu apabila kami sudah tiada di dunia ini nanti, masih ada pahala yang terus mengalir. Itulah definisi kejayaan sebenar bagi saya,” jelasnya.

Tidak malu menyanyi di majlis perkahwinan

Biarpun kembali menikmati kemeriahan pentas besar, Mila tidak pernah menjadikan gahnya sesebuah persembahan sebagai ukuran nilai dirinya sebagai penyanyi. Bagi Milla, pentas yang dihiasi limpahan cahaya dan mikrofon yang dihulurkan di sebuah majlis perkahwinan membawa makna sama, iaitu peluang untuk menghiburkan serta membahagiakan insan lain.

Malah, di sebalik video persembahannya di dewan perkahwinan yang diurusnya sering mencuri perhatian pengguna media sosial, siapa sangka kebanyakkan persembahan itu dilakukan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Bagi saya, menyanyi di majlis perkahwinan bukan sesuatu yang rendah tarafnya. Banyak video saya menyanyikan lagu sendiri atau lagu saduran di dewan perkahwinan yang tular di media sosial dilakukan tanpa sebarang bayaran.

“Pelanggan tidak membayar saya untuk menyanyi. Saya datang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menyokong perniagaan kami. Kadangkala, mereka meminta saya menyanyi dan menghulurkan mikrofon.

“Jadi, saya menyanyi kerana mahu meraikan mereka. Ada yang pernah menghabiskan wang untuk mengundi kita ketika pertandingan dahulu. Jadi, apalah sangat kalau kita membalas sokongan itu dengan menyanyikan sebuah lagu?

“Saya tidak pernah menganggap persembahan di majlis perkahwinan sebagai sesuatu yang tidak setaraf dengan penyanyi profesional. Tidak kisahlah majlis itu diadakan di bawah kanopi, di taman atau di dalam dewan perkahwinan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mila turut menjadikan sikap rendah diri Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tidak keberatan menyanyi di majlis perkahwinan sebagai teladan.

“Bagi saya, perkara itu bukan tentang kelas atau status seseorang penyanyi. Ia tentang hubungan kita dengan peminat. Antara nikmat terbesar menjadi individu yang dikenali adalah apabila ramai orang mendoakan kita.

“Bukan mudah mendapatkan doa ikhlas daripada orang lain. Apabila melihat ribuan doa yang diberikan kepada saya sepanjang GV, saya sangat tersentuh,” akhirinya.

Menyulam kembali cinta lama

Andai dunia perniagaan menjadi medan untuk dia mengubah corak kehidupannya, bidang nyanyian pula kekal sebagai cinta lama yang tidak pernah terpadam daripada jiwanya.

Hampir sedekad menyepi daripada radar industri hiburan, penyanyi lagi Persis Mutiara itu akhirnya kembali membuka lembaran baharu perjalanan seninya menerusi program realiti, Gegar Vaganza Fantasia (GVF).

Kemunculan semula Mila bukan sahaja mengubat kerinduan peminat yang mengikuti perjalanan seninya sejak zaman AF, bahkan memperkenalkan dirinya kepada generasi baharu yang selama ini lebih mengenalinya sebagai usahawan.

“Ada yang memanggil saya Kakak Bizmilla, ada juga yang mengenali saya sebagai Kakak Kahwin. Malah, ada individu yang memberikan komen di Threads, katanya, ‘Aku ingat dia ini peniaga sahaja, bila pula dia menyanyi?’

“Saya sangat gembira kerana dapat menarik perhatian generasi baharu yang mungkin belum lahir ketika saya mula menyertai AF dahulu. Pada masa sama, perkara paling menggembirakan adalah apabila dapat bertemu semula dengan peminat yang membesar bersama-sama saya,” luahnya.

Bagi Mila, pertemuan semula dengan peminat lama seolah-olah membuka kembali album kenangan yang sudah lama tersimpan, terutama apabila ada yang datang menyapa sambil mengimbau zaman kanak-kanak mereka ketika mengikuti perjalanan seninya.

Milla bagaimanapun mengakui sesekali terdetik rasa terkilan kerana hampir 10 tahun tidak menghasilkan karya baharu, namun percaya setiap perjalanan yang diatur buatnya mempunyai hikmah tersendiri.

“Sejujurnya, kadangkala saya merasakan seolah-olah sudah membazirkan 10 tahun tanpa menghasilkan karya baharu yang bagus.

“Tetapi saya sangat yakin dan percaya bahawa Allah mempunyai sebab mengapa perjalanan seni saya tertangguh selama itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini