“Perpindahan undi BN-PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir sempurna, perfect, syumul.”
Itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar ketika membentangkan dapatan kajian pada Wacana Keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka 2026 di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia di ibu negara pada 20 November lalu.
Beliau menambah, formula kerjasama BN-PN yang bermula di Johor dan dibawa ke Negeri Sembilan sebelum di Melaka telah lengkap di Melaka.
Ini menunjukkan bahawa pengundi Melayu bersatu di bawah dua parti ini, manakala ukuran terhadap pengundi bukan Melayu khususnya Cina masih ‘samar’ kerana minat mereka terhadap pilihan raya negeri dan pusat berbeza.
Pemerhati politik, Bridget Welsh menganggarkan pada PRN Melaka penyertaan pengundi Cina merosot 11 mata peratusan manakala pengundi India merosot lebih teruk, 29 mata peratusan berbanding PRU15 pada 2022.
Perbezaan tersebut penting kerana pengundi yang tidak hadir dan pengundi yang menukar pilihan menghasilkan kesan berlainan. Kemerosotan undi sesuatu parti tidak dengan sendirinya membuktikan semua undi yang hilang berpindah kepada lawannya.
Begitu juga, kemenangan di kawasan majoriti sesuatu kaum belum menjelaskan sepenuhnya sebab seseorang mengundi. Prestasi calon, pengalaman dengan kerajaan, keadaan ekonomi, kekuatan organisasi dan pilihan yang tersedia boleh mempengaruhi keputusan bersama faktor identiti.
Bagaimanapun menurut Ilham Centre, golongan bukan Melayu telah menghantar beberapa isyarat yang memberikan beberapa petunjuk berdasarkan PRN Melaka.
Pertama, pengundi India telah beralih kepada BN-PN dengan 47.3 peratus manakala PH mendapat 45.9 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-15, PH yang mendapat 74.5 peratus undi dan BN hanya 25 peratus undi.
Kedua, jumlah undi Cina terhadap PH menyusut sebanyak 8.9 mata peratusan berbanding PRU 2022 dan kebanyakan undi tersebut telah lari ke Bersama.
Ketiga, selepas kalah teruk di Negeri Sembilan termasuk Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, pengundi Cina kembali kepada PH dengan mempertahankan kubu kuat mereka di Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Bagi pengundi Cina, laporan Ilham Centre menyatakan PH mengekalkan penyokong teras bukan Melayu dan bandar, termasuk kelompok yang konsisten menolak BN. Pengundi muda Cina juga lebih cenderung kepada PH.
Daripada tiga petunjuk ini jelas politik identiti atau bahasa mudahnya undi mengikut kaum semakin menebal.
Kaum majoriti menunjukkan mereka bersatu di bawah gabungan blok BN-PN yang ditunjangi oleh dua parti berteraskan Melayu.
Sementara itu, kelompok minoriti khususnya Cina kekal di bawah PH yakni DAP. Walaupun mengakui sebagai parti berbilang kaum, namun khalayak masih membaca DAP sebagai berteraskan kaum Cina.
Dalam masa sama, walaupun masih berbaki lagi setahun untuk memerintah, PH khususnya Kerajaan Madani dilihat banyak pihak tidak mampu untuk mengubah polarisasi undian kerana masyarakat Melayu tidak percaya dengan kemampuan pemimpin yang ada dalam parti itu untuk melindungi hak mereka.
Jika slogan ‘Asal Bukan PH’ kekal mendapat sambutan sehingga PRU-16 sebagaimana slogan ‘Asal Bukan UMNO’ yang berjaya menumbangkan BN pada tahun 2018, BN-PN dilihat tidak mempunyai masalah untuk menguasai 135 daripada 165 kerusi di Semenanjung, manakala PH – maksimum pun akan menang 50 kerusi bukan Melayu.
Malah kebanyakan para penganalisis politik melihat DAP pada masa sekarang telah berada pada tahap tepu dengan 40 kerusi manakala PKR dijangka hilang banyak kerusi.
Soalnya apa akan jadi jika keadaan ini kekal?
Bagaimanapun sebelum pergi jauh – perubahan demografi juga memerlukan pembacaan yang cermat.
Dalam unjuran Jabatan Perangkaan berasaskan penduduk warganegara, bahagian penduduk Cina dijangka merosot menjadi 17 peratus pada 2050 dan 14.8 peratus pada 2060 berbanding 22 peratus pada 2025 disebabkan kadar kelahiran yang rendah dalam kalangan kaum itu.
Justeru, pengundi Cina perlu berfikir secara strategik sebelum memilih pada pilihan raya umum akan datang.
Apakah perlu kekal dengan keadaan sekarang bersama PH- DAP?
Atau kembali kepada asal yakni bersama parti, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan yang berjuang memerdekakan dan membina negara seperti apa yang ada hari ini. Parti ini, BN semakin gagah kerana mereka bersama PN. Gelombang Biru semakin sukar untuk ditangani.
Apa pun kerajaan yang ditunjangi PKR dan DAP hari ini masih ada tempoh setahun, satu masa yang agak suntuk untuk perbaiki keadaan tetapi dalam politik, sehari sudah mampu mengubah segalanya.
AZRAN FITRI RAHIM ialah Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Kesembilan.











