KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mempertingkat ciri keselamatan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) termasuk pemasangan penghadang platform dan sistem amaran susulan insiden penumpang terjatuh ke landasan baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan telah diadakan dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang mencadangkan pemasangan pintu skrin platform di stesen bagi meningkatkan keselamatan penumpang.
“Jadi apa yang kita lakukan adalah mengadakan perbincangan dengan Prasarana dan mereka telah mengemukakan cadangan untuk memasang pintu skrin platform di stesen kita.
“Kini kita sedang meneliti kaedah paling praktikal untuk memasang penghadang bagi memberikan amaran dan meningkatkan keselamatan penumpang,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Titik Buta Spot It di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), hari ini.
Anthony Loke berkata, pemasangan penuh pintu skrin platform bukan satu usaha yang mudah kerana melibatkan kos tinggi serta pengubahsuaian besar khususnya di stesen lama yang tidak direka dengan sistem tersebut.
Katanya, sistem baharu seperti MRT telah dilengkapi dengan pintu skrin platform manakala laluan LRT lama dan monorel pada asalnya dibina tanpa kemudahan tersebut.
“Bagaimanapun, pintu skrin platform kini telah dipasang di monorel. Pemasangan penghadang platform bukan projek mudah kerana melibatkan kos tinggi.
“Semua stesen perlu diubah suai kerana reka bentuk lama tidak memasukkan ciri tersebut sejak awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut mempertimbangkan teknologi keselamatan alternatif termasuk siren, sensor inframerah dan sistem amaran lain bagi memberi peringatan kepada penumpang di sekitar platform.
“Terdapat pelbagai teknologi yang boleh digunakan, bukan hanya pintu atau penghadang tetapi juga sistem seperti siren dan sensor inframerah untuk memberi amaran kepada penumpang.
“Prasarana kini sedang meneliti cadangan tersebut dengan harapan penambahbaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat insiden melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang cedera di stesen LRT Abdullah Hukum di Bangsar selepas terjatuh ke landasan dan tersepit di bawah tren.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian lengan dan muka, selain insiden itu turut menyebabkan gangguan sementara perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya. – UTUSAN








