Penduduk waspada walau paras Sungai Pahang masih baik

Penduduk waspada walau paras Sungai Pahang masih baik

Sungai Pahang
PARAS terkini Sungai Pahang di bawah Jambatan Temerloh masih rendah dan tiada tanda-tanda banjir melanda dijangka dalam masa terdekat di Temerloh. – UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Walaupun paras air Sungai Pahang di sekitar Temerloh, Jerantut dan Maran masih baik, namun penduduk tetap berwaspada terhadap kemungkinan banjir akibat hujan berterusan di kawasan hulu.

Pemantauan paras air Sungai Pahang oleh Shamsuddin Mahmud, 53, menerusi siaran harian TikTok yang dikenali sebagai Petir Dean berkata, keadaan sungai ketika ini masih terkawal berikutan hujan yang berlaku belum menyeluruh.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman memantau perubahan paras air sungai, hujan lebat berterusan selama dua hingga tiga hari di kawasan hulu termasuk Taman Negara, Lipis dan Bentong boleh menjadi petunjuk awal risiko banjir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Paras Sungai Pahang masih baik dan belum menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.

“Kalau hujan berterusan dua atau tiga hari terutama di kawasan hulu sungai, kita kena lebih berjaga-jaga kerana air dari sana akan sampai ke Temerloh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Shamsuddin berkata, dia membuat siaran TikTok setiap hari secara sukarela bagi berkongsi perkembangan paras air Sungai Pahang sebagai maklumat tambahan kepada penduduk, khususnya di kawasan rendah dan berisiko banjir.

Katanya, pemantauan turut dilakukan di sekitar Temerloh dan Kampung Tengah berhampiran jambatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi melihat perubahan paras air dari semasa ke semasa.

Tambah Shamsuddin, kejadian banjir kilat di Karak baru-baru ini juga tidak semestinya menggambarkan keadaan keseluruhan Sungai Pahang kerana kejadian itu bersifat setempat dan sementara.

Sementara itu, penduduk Kampung Bangau Tanjung, Zainal Abidin Abdullah 60, berkata, walaupun Sungai Pahang belum menunjukkan tanda ‘membuak’ atau melimpah, penduduk tidak boleh mengambil mudah ancaman banjir sepanjang musim tengkujuh.

Menurutnya, pengalaman menghadapi banjir sebelum ini mengajar masyarakat supaya membuat persediaan lebih awal.

“Kita tidak boleh tunggu air naik baru hendak bertindak. Dokumen penting mesti disimpan di tempat selamat, harta benda perlu dijaga dan bekalan makanan hendaklah mencukupi.

“Walaupun paras sungai masih baik, penduduk tetap perlu berwaspada kerana keadaan cuaca boleh berubah,” katanya.

Zainal Abidin berkata, penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca serta maklumat paras air daripada pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini