Yusoff Mahadi calon sesuai terajui MFL

Yusoff Mahadi calon sesuai terajui MFL

YUSOFF MAHADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak tempatan serta hubungan baik dengan ahli gabungan menjadi antara faktor Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dilihat mempunyai kriteria menyandang jawatan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu yang sudah lama berada dalam pentadbiran MFL mempunyai kelebihan kerana memahami selok-belok pengurusan liga di peringkat kebangsaan.

Katanya, pengalaman Yusoff bersama MFL selain pernah mengendalikan Liga A1 Semi pro dan memberikan nilai tambah untuk dipertimbangkan sebagai Presiden MFL.

“Saya pun hairan, mana perginya Datuk Yusoff Mahadi? Dia sudah lama dalam MFL, kalau tidak silap saya sudah dua penggal.

“Kalau kita kira dari segi pengalaman dan perkara yang dia ada dalam MFL, saya percaya dia layak untuk dipertimbangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulakbal berkata, antara kelebihan utama Yusoff ialah hubungan baiknya dengan ahli-ahli gabungan yang menjadi asas kepada pembentukan MFL, sekali gus mampu memudahkan urusan pentadbiran badan pengelola liga itu.

“Yang pertama saya nampak hubungan baik dia dengan ahli-ahli kelab gabungan. Dulu dia pernah dipertimbangkan untuk mengambil jawatan Presiden MFL dan dia sudah memulakan kerja-kerja di lapangan.

“Orang yang ada pengaruh dan hubungan baik dengan ahli gabungan akan memudahkan beliau mentadbir MFL kerana akhirnya MFL itu diwujudkan oleh ahli gabungan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulakbal mengakui Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar  turut mempunyai potensi untuk menerajui MFL, namun berpendapat pengalaman Yusoff di peringkat kebangsaan dan antarabangsa memberikan kelebihan tersendiri.

“Barangkali Yusoff Mahadi berada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Shahril boleh membantu Yusoff dalam jangka masa tertentu sebelum mengambil alih apabila sudah mempunyai lebih banyak pengalaman di peringkat kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Ab Ghani Hassan mengumumkan peletakan jawatan Presiden MFL apabila memegang jawatan tertinggi sebagai Presiden FAM bagi baki penggal 2025/29.

Kekosongan jawatan nombor satu untuk badan pengelola liga tempatan itu secara tidak langsung mencetuskan tanda tanya serta spekulasi hangat dalam kalangan pemegang taruh mengenai calon yang wajar diangkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×