PETALING JAYA: Status tujuh pemain yang dikenakan penggantungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia (Liga M) disifatkan tidak wajar meskipun pendaftaran mereka dibenarkan berdasarkan peraturan domestik.
Peguam sukan, Nik Erman Nik Roseli berkata, kewarganegaraan Malaysia yang dimiliki pemain terbabit tidak seharusnya menjadi alasan untuk mereka terus dianggap mempunyai status yang sama seperti pemain tempatan lain, khususnya selepas FIFA memutuskan mereka gagal memenuhi syarat Kewarganegaraan Sukan (KS) untuk mewakili Harimau Malaya.
Menurutnya, Liga M memang mempunyai peraturan pendaftaran sendiri dan tidak tertakluk secara langsung kepada konsep KS FIFA, namun kelayakan pemain dalam pertandingan domestik seharusnya tidak bercanggah dengan prinsip yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia.
“Pertandingan liga tidak tertakluk kepada KS dan berpandukan peraturan sendiri. Walau bagaimanapun, kelayakan liga harus dan perlu selari dengan KS FIFA.
“Apa yang berlaku sekarang, tujuh pemain itu layak bermain dalam liga walaupun sah dari sudut peraturan domestik, adalah tidak wajar. Ia seakan tidak menghormati keputusan FIFA dan bertentangan dengan ‘the spirit and objective of the law’,” katanya.
Isu itu timbul selepas tujuh pemain terbabit, yang sudah memperoleh kewarganegaraan Malaysia, masih boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam Liga M, sedangkan mereka telah diputuskan tidak memenuhi syarat hubungan tulen untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
Nik Erman menjelaskan, perkara paling penting dalam isu berkenaan ialah membezakan Kewarganegaraan Negara (KN) dengan KS kerana kedua-duanya membawa maksud dan kesan berbeza dalam konteks bola sepak antarabangsa.
“Dalam erti kata mudah, adanya KN tidak bermakna adanya KS. Untuk KS, FIFA menetapkan syarat kelayakan tambahan bagi seseorang pemain untuk mewakili sesebuah negara, termasuk keperluan wujud ‘genuine link’ (hubungan tulen), antara pemain dengan negara berkenaan,” ujarnya.
Menurut beliau, seseorang individu boleh diiktiraf sebagai warganegara Malaysia berdasarkan undang-undang negara, tetapi status itu tidak secara automatik memberikan hak untuk mewakili skuad kebangsaan.
Katanya, hubungan tulen yang ditetapkan FIFA boleh dibuktikan menerusi beberapa asas, termasuk tempat kelahiran pemain, tempat kelahiran waris serta tempoh residensi atau penetapan di negara berkenaan.
Justeru, Nik Erman menegaskan pemilikan pasport atau kad pengenalan Malaysia semata-mata tidak mencukupi untuk membolehkan tujuh pemain terbabit mewakili Harimau Malaya.
Dalam masa sama, beliau berkata, keputusan tersebut tidak semestinya mengubah status kewarganegaraan mereka daripada sisi undang-undang Malaysia, namun ia menimbulkan persoalan terhadap kewajaran mereka diberikan status pemain tempatan dalam Liga M.
Mengulas ulasan FIFA terbaharu yang diterbitkan bulan ini mengenai kelayakan pemain, Nik Erman berkata dokumen itu bukan peraturan atau undang-undang baharu, sebaliknya penjelasan terhadap prinsip yang sememangnya terkandung dalam Statut FIFA.
Kelayakan pemain dan KS juga bukan perkara baharu kerana FIFA pernah menerbitkan ulasan berkaitan perkara sama pada Januari 2021.
“Saya percaya pengeluaran Ulasan FIFA terbaru ini adalah akibat isu pemain-pemain FAM kerana ia adalah isu terbesar mengenai KS yang berlaku dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
“Namun, dari sudut prinsip undang-undang, penerangan itu sememangnya sudah ada dalam Statut FIFA dan bukan peraturan atau undang-undang baharu,” katanya.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kesemua mereka sebelum ini dikenakan penggantungan 12 bulan serta denda oleh FIFA berhubung isu dokumen dan syarat hubungan tulen, manakala beberapa pemain sudah menyertai kelab Liga M dan didaftarkan sebagai pemain tempatan. – UTUSAN










