PETALING JAYA: Sikap sambil lewa Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam isu pendaftaran pemain memakan diri apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjatuhkan hukuman tegas susulan kegagalan pasukan itu beraksi menentang Negeri Sembilan FC, Sabtu lalu.
Bukan sahaja Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan percuma 3-0 serta tiga mata, The City Boys yang dikendalikan Datuk Dollah Salleh turut didenda RM50,000 dan diarahkan membayar segala ganti rugi serta kos berkaitan yang diputuskan MFL.
Tidak cukup dengan itu, KL City kini berdepan hukuman sama pada aksi seterusnya apabila MFL menolak permohonan penangguhan perlawanan menentang Kuching City FC yang dijadualkan hari ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
MFL dalam satu kenyataan berkata, jika KL City sekali lagi gagal turun beraksi dalam aksi Liga Super itu, Kuching City akan diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata manakala The City Boys bakal dikenakan tambahan denda RM50,000.
Dalam mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL, badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain dalam sistem MyPAS pada 22 Ogos lalu, membabitkan 11 pemain dan seorang penjaga gol sedangkan peraturan telah menetapkan jumlah minimum pemain yang perlu didaftarkan.
“MFL mendapati KL City gagal mematuhi Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027 yang menetapkan setiap kelab mendaftarkan sekurang-kurangnya 15 pemain, termasuk minimum dua penjaga gol.
“Malah, pekeliling Liga Malaysia yang diedarkan kepada semua kelab pada 29 Jun lalu menetapkan syarat lebih khusus, iaitu minimum 20 pemain termasuk tiga penjaga gol perlu didaftarkan sebelum perlawanan pertama musim 2026-2027.
“Kegagalan itu turut bercanggah dengan Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) berhubung keperluan melengkapkan senarai pemilihan pasukan dengan 20 pemain dan 10 pegawai di bangku simpanan,” kata MFL.
Apa yang menjadikan keadaan KL City lebih sukar diterima ialah MFL memaklumkan bahawa Unit Pelesenan Kelab dan First Instance Body (FIB) sudah berulang kali mengingatkan kelab itu supaya menyelesaikan denda yang dikenakan FIFA sehingga membawa kepada Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.
Namun, KL City dilihat gagal mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan perkara berkenaan dan akibatnya, masalah pendaftaran pemain akhirnya memberi kesan terus kepada kemampuan kelab menyediakan skuad lengkap untuk perlawanan pertama Liga Super.
Dalam pada itu MFL menegaskan setiap kelab yang menyertai pertandingan Liga M bertanggungjawab untuk mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan serta segala arahan rasmi MFL bagi memastikan kelancaran dan integriti pertandingan sentiasa terpelihara. – UTUSAN











