Peningkatan gaji minimum buruh asing jejas sektor pembinaan - Utusan Malaysia

Peningkatan gaji minimum buruh asing jejas sektor pembinaan

Operasi tapak pembinaan
KERAJAAN perlu mempercepat teknologi bagi membantu industri pembinaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan berdepan risiko peningkatan kos buruh asing jika kerajaan menyemak kadar gaji minimum dalam Belanjawan 2027, dengan kontraktor yang bergantung tinggi kepada pekerja asing akan paling terdedah kepada tekanan margin, menurut Apex Securities.

Firma penyelidikan berkata, kerajaan berpotensi mengumumkan semakan semula upah minimum bulanan baharu kepada sekitar RM2,000, berbanding kadar semasa hanya RM1,700, sebagai sebahagian usaha mengecilkan jurang gaji struktur dalam ekonomi semasa.

Bagaimanapun tambahnya, sebarang kenaikan kadar gaji akan meningkatkan kos tenaga kerja sektor pembinaan yang sememangnya sangat bergantung kepada ramai pekerja asing, selain kesan daripada peningkatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi buruh luar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tekanan kos itu berpotensi lebih ketara bagi kontraktor yang melaksanakan projek berintensifkan buruh dan kontrak pada harga tetap, kerana peningkatan kos sukar diserap balik tanpa menjejaskan margin keuntungan mereka. 

“Tekanan kos itu berpotensi lebih ketara bagi kontraktor yang melaksanakan projek berintensifkan buruh dan kontrak pada harga tetap, kerana peningkatan kos sukar diserap balik tanpa menjejaskan margin keuntungan mereka,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sebaliknya, ujar fırma berkenaan, kontraktor berskala lebih besar dengan penggunaan teknologi automasi dan sistem binaan berindustri (IBS) dilihat mempunyai banyak ruang untuk menyerap kenaikan kos upah pekerja tersebut tanpa ada sebarang masalah timbul.

Selain itu, ia menjangkakan Belanjawan 2027 lebih merupakan tahun pelaksanaan projek berbanding pengumuman projek baharu, memandangkan buku tempahan sektor sudah disokong rangkaian projek rel, lebuh raya, air dan hubungan pengangkutan yang dibawa daripada Belanjawan 2026.

“Antara pemangkin utama sektor kata Apex Securities, ialah penganugerahan pakej Civil Main Contract 2 (CMC2) transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM5 bilion, dengan MRT Corp menyasarkan keputusan pemenang bidaan kontrak pada November 2026.

“Projek Johor Bahru Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) turut menjadi perhatian setelah nilai dioptimumkan kepada sekitar RM8 bilion, manakala struktur pembiayaan dan perjanjian konsesi masih dalam semakan kerajaan dengan sasaran pemuktamadan menjelang akhir 2026,” katanya.

Di samping itu, ia turut melihat transit aliran massa (MRT) fasa 3 sebagai pemacu pertumbuhan selepas Skim Kereta Api Muktamad diluluskan, dengan pengambilan tanah disasarkan selesai hujung 2026 dan tender utama berpotensi akhir 2026 hingga pertengahan 2027.

Dalam masa sama ujarnya, pembangunan pusat data (DC) kekal sebagai pemacu struktur sektor apabila 3.8GW kapasiti DC sedang dibina, yang diterjemahkan kepada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM95 bilion berdasarkan kos RM20 juta hingga RM25 juta bagi setiap MW.

Menurut Apex Securities, aliran kerja pembinaan kekal sihat dengan nilai kerja pembinaan meningkat kira-kira 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM94.3 bilion pada separuh pertama 2026 (1H26) dengan disokong pelbagai aktiviti sektor swasta dan kerja kejuruteraan awam.

“Kami mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan, dipacu potensi banyak projek infrastruktur utama, kos input yang semakin stabil, pemulihan sektor hartanah dan kitaran daripada pelaburan DC sendiri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN