COLOGNE: Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Cologne Bonn, Jerman selepas cuba menyeludup lebih 90 ekor reptilia termasuk ular berbisa dan biawak di dalam bagasinya.
Pegawai kastam memaklumkan lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai anggota bomba dari Mexico itu kelihatan sangat mencurigakan dan gelisah ketika cuba melalui laluan keluar hijau di lapangan terbang berkenaan.
Pihak berkuasa pada mulanya menjalankan ujian saringan dadah terhadap lelaki tersebut yang menunjukkan keputusan positif kokain sebelum bertindak memeriksa kandungan beg pakaiannya.
Meskipun tiada sebarang bahan terlarang ditemui, pemeriksaan lanjut membongkar penemuan ular kapak, ular kapak berbisa serta pelbagai spesies ular dan biawak lain termasuk iguana yang disembunyikan di dalam botol syampu, bekas krim, bekas plastik dan gumpalan stoking.
“Rakan sejawat saya di lapangan terbang sudah biasa dengan pelbagai barang cenderamata pelik di dalam bagasi, tetapi kami tidak pernah berdepan kejadian membawa 37 ekor ular berbisa hidup dan 55 ekor biawak dari Mexico seperti ini,” kata jurucakap Pejabat Kastam Cologne, Jens Ahland.
Ahland menambah sesetengah haiwan berkenaan disimpan dalam keadaan yang sangat teruk manakala sebahagian lagi mati sepanjang penerbangan dari Bandar Raya Mexico yang transit melalui Istanbul.
Suspek yang tidak didedahkan identitinya mendakwa beliau membawa haiwan-haiwan berkenaan atas pertolongan rakan kenalannya dari Brazil.
Lelaki itu kemudiannya dihalang daripada memasuki Jerman dan dihantar pulang ke Istanbul.
Haiwan yang diselamatkan dari bagasinya kini ditempatkan di sebuah pusat penternakan ular di Jerman.
Menurut pihak kastam, sebanyak 1,300 kes rampasan melibatkan lebih 56,600 haiwan dan tumbuhan dilindungi atau produk berasaskannya telah direkodkan di seluruh Jerman pada tahun lalu. -AGENSI











