Pelancongan pendidikan buka ruang teroka dunia sebenar - Utusan Malaysia

Pelancongan pendidikan buka ruang teroka dunia sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelancongan pendidikan kini bukan lagi sekadar lawatan sambil belajar, sebaliknya menjadi platform untuk pelajar meneroka dunia sebenar melalui pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal.

Melalui pendekatan itu, pelajar berpeluang mendapat pendedahan secara langsung kepada institusi pendidikan, industri dan golongan profesional, sekali gus menghubungkan pembelajaran teori dengan pengalaman serta keperluan dunia pekerjaan.

Pengarah Taj Tours, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, pelancongan pendidikan memberi peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman di negara lain sebelum membuat keputusan mengenai masa depan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadual perjalanan dirangka berdasarkan bidang akademik dan minat kerjaya pelajar. Sebagai contoh, pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang penerbangan mungkin mempelajari penyelenggaraan pesawat atau operasi lapangan terbang di dalam kelas.

“Namun, lawatan ke hangar yang sedang beroperasi, memasuki simulator penerbangan, bertemu dengan golongan berkepentingan dalam bidang penerbangan atau memahami cara sesebuah lapangan terbang menguruskan SOP dan keselamatan dapat menjadikan teori lebih nyata.

“Prinsip yang sama boleh diterapkan dalam bidang lain. Industri menjadi sebahagian daripada bilik darjah. Pelajar mendapat pendedahan kepada tempat kerja sebenar dan laluan kerjaya, sekali gus membantu mereka memahami dengan lebih baik makna kelayakan yang dimiliki dalam ekonomi sebenar.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut tetamu dari institusi terkemuka di Chennai, India.

Katanya lagi, tumpuan diberikan kepada penyusunan program yang berkaitan dengan bidang pengajian pelajar. “Syarahan universiti, lawatan industri, interaksi bersama golongan profesional, bengkel dan pengalaman kebudayaan boleh digabungkan dalam satu perjalanan pembelajaran yang saling berkaitan, memberi impak maksima kepada lawatan sambil belajar itu sendiri. Menang untuk pelajar, menang untuk universiti dan menang untuk negara.

“Ini kerana pendidikan pada akhirnya bukan sekadar untuk lulus peperiksaan. Pendidikan adalah persediaan untuk golongan muda memahami dunia dan akhirnya, turut menyumbang dan memain peranan dalam pembentukan dan pembangunan negara itu sendiri.

“Bilik darjah mempunyai empat dinding. Namun, pendidikan tidak mengenal sempadan,” katanya.

Sri Rahayu turut berkata, pelancongan pendidikan turut berperanan sebagai jambatan dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan India menerusi kerjasama institusi pendidikan, pertukaran kepakaran serta perkongsian budaya dan pengetahuan. Sri Rahayu juga mengucapkan terima kasih kepada Tourism Malaysia yang bersama sama memberi sokongan dalam hal ini.

Katanya, interaksi secara langsung antara pelajar, tenaga akademik dan golongan profesional kedua-dua negara bukan sahaja memperluas peluang kerjasama dalam bidang pendidikan dan industri, malah membina persefahaman serta jaringan jangka panjang yang mampu menyumbang kepada hubungan bilateral lebih kukuh pada masa hadapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini