KUALA LUMPUR: Kesilapan kerajaan Madani yang paling besar sejak mengambil alih Putrajaya ialah melantik DS Rafizi Ramli sebagai menteri kanan yang menjaga hal-ehwal ekonomi negara, kata penganalisa.
Pengerusi Sekretariat Suara Wanita Nasional (SWN), Mazween Mokhtar berkata, ini kerana kebanyakan janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan sebelum PRU15 adalah bersangkutan dengan hal-hal yang membabitkan ekonomi seperti harga minyak, harga kenderaan dan kos sara hidup.
“Apabila Rafizi Ramli gagal untuk melaksanakan tugas beliau sebagai menteri ekonomi, rakyat mulai menyalahkan kerajaan Madani dan mengungkit janji-janji manis yang pernah ditaburkan oleh Rafizi Ramli sebelum PRU15.

“Justeru, adalah tidak keterlaluan untuk kita menganggap Rafizi Ramli sebagai penyumbang utama kelemahan PH pada hari ini kerana beliau adalah menteri yang gagal,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbirannya mempunyai baki tempoh lebih setahun untuk memperbaiki prestasi kerajaan sebelum berakhirnya penggal semasa dengan kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik dan memperbaiki prestasi dalam tempoh berkenaan.
Mengulas lanjut, Mazween berkata, bagi menyelamatkan dirinya yang telah dilabelkan sebagai menteri gagal, Rafizi Ramli meletakkan jawatan akibat merajuk dan berusaha sedaya-upaya untuk memburuk-burukkan kerajaan hari ini.
“Saya berharap pengundi dapat melihat hakikat ini dan tidak lagi terpedaya dengan apa jua janji-janji manis yang akan terkeluar dari mulut Rafizi Ramli lagi selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN











