Ernie Zakri pilihan saya jika ada Eurovision tahun depan – Aina Abdul

Ernie Zakri pilihan saya jika ada Eurovision tahun depan – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Aina Abdul memilih rakan seperjuangannya, Ernie Zakri untuk mewakili negara sekiranya Malaysia kembali menyertai pertandingan nyanyian Eurovision pada tahun hadapan.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata, dia sudah menyuarakan hasrat itu kepada Ernie dan berharap penyanyi berkenaan berpeluang merasai sendiri pengalaman menyertai pertandingan berprestij itu.

“Saya baru berbual dengan dia semalam. Kalau ada Eurovision tahun depan, saya mahu dia pergi dan merasai sendiri pengalaman itu,” katanya ketika ditemu bual radio Hitz.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam temu bual sama, Aina turut berkongsi pandangannya mengenai persembahan peserta lain pada pertandingan berkenaan.

Kata penyanyi lagu Bluest Sky itu, tiga peserta yang menarik perhatiannya ketika pertandingan berkenaan adalah Junhee dari Korea Selatan, Nyendra dari Bhutan dan Carmel dari Filipina yang muncul sebagai juara.

“Sejujurnya, saya menyukai ketiga-tiga persembahan itu pada malam berkenaan. Saya suka Junhee dari Korea Selatan, Nyendra dari Bhutan kerana suaranya sangat merdu dan Carmel dari Filipina yang muncul sebagai pemenang,” katanya.

Mengulas perancangan selepas berakhirnya penyertaan dalam Eurovision Song Contest Asia 2026, Aina berkata, beberapa projek baharu sedang menantinya, termasuk perkara yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan dinantikan peminat.

Pun begitu, dia belum bersedia mendedahkan butiran lanjut mengenai projek berkenaan, namun memberi bayangan ia mungkin membabitkan album kedua, konsert dan kolaborasi bersama penyanyi lain.

“Ada banyak projek selepas ini, tetapi belum ada apa-apa yang boleh saya kongsikan. Antaranya mungkin album kedua, konsert dan kolaborasi tapi saya akan beritahu nanti dengan siapa,” katanya.

Untuk rekod, Aina yang mempertaruhkan lagu Bluest Sky mengumpul 152 mata, sekali gus menduduki tangga keempat daripada 11 negara yang bertanding.

Aina dipilih mewakili Malaysia ketika Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) pada 15 Ogos lalu, sekali gus membuka peluang buat penyanyi itu memperkenalkan karya tempatan di pentas antarabangsa.

Lagu Bluest Sky yang dihasilkan bersama komposer, Mac Chew dilancarkan pada Oktober lalu sebagai taruhan Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

Eurovision Song Contest Asia diperkenalkan buat julung kali sebagai kesinambungan pertandingan muzik antarabangsa Eurovision Song Contest yang sudah berlangsung sejak 70 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini