Allianz Eterna platform pengurusan kekayaan golongan bernilai tinggi - Utusan Malaysia

Allianz Eterna platform pengurusan kekayaan golongan bernilai tinggi

KETUA Pegawai Eksekutif Serantau bagi Asia Pasifik, Anusha Thavarajah (ketiga dari kiri), bersama Giulio Slavich (kedua dari kanan), serta Pengarah Eksekutif dan Pegawai Utama Allianz Life Insurance Malaysia Bhd—yang juga merupakan Pegawai Utama Allianz Labuan Ltd dan Ketua Pegawai Jualan bagi Perkongsian, Benny Woon (kanan), semasa sesi bergambar selepas pelancaran Allianz Eterna di Hanging Garden hari ini. - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Allianz Malaysia Berhad melancarkan Allianz Eterna, platform pengurusan kekayaan dan perlindungan khusus untuk individu bernilai tinggi (HNW), bagi memenuhi keperluan golongan kaya yang semakin mengembangkan aset serta kepentingan kewangan merentasi sempadan negara.

Pelancaran itu turut disokong penubuhan anak syarikat luar pesisir kumpulan, Allianz Labuan Limited, yang membolehkan penawaran polisi insurans hayat dalam denominasi mata wang asing kepada keluarga berkemampuan tinggi di Malaysia serta pelabur antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, platform baharu itu menggabungkan kepakaran domestik kumpulan dengan keupayaan luar pesisir dan antarabangsa bagi menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, inisiatif itu memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan struktur kewangan lebih fleksibel dan tidak terhad kepada sempadan negara, sejajar dengan perkembangan kekayaan serta kepentingan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

“Dengan pelancaran Allianz Labuan dan Allianz Eterna, kami menggabungkan kepakaran sedia ada Allianz Malaysia dengan keupayaan luar pesisir dan antarabangsa di bawah satu platform,” katanya.

Allianz Eterna beroperasi menerusi model dua pasaran yang menggabungkan rangkaian pengedaran domestik Allianz Malaysia dengan keupayaan pengunderaitan luar pesisir Allianz Labuan Limited.

Allianz Labuan Limited diperbadankan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Oktober 2026, sekali gus menyediakan platform bagi kumpulan menawarkan polisi insurans hayat dalam denominasi mata wang asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Giulio Slavich berkata, perubahan landskap kekayaan di Malaysia dan rantau ini membuka peluang baharu kepada kumpulan untuk memperluas penawaran insurans melangkaui struktur perlindungan domestik konvensional.

Katanya, gabungan kekayaan 50 individu terkaya Malaysia mencecah US$116 bilion (RM475.6 bilion) tahun ini, meningkat hampir 30 peratus, manakala populasi individu bernilai bersih amat tinggi di negara ini dijangka berkembang lebih 20 peratus antara 2026 hingga 2031.

“Pengurusan kekayaan dalam kalangan usahawan tempatan semakin melangkaui sempadan negara, sejajar dengan perkembangan perniagaan Malaysia yang semakin aktif meneroka pasaran antarabangsa.

“Perniagaan Malaysia semakin melihat peluang di luar sempadan negara dan pemilik perniagaan berkenaan juga mungkin mempunyai keperluan kewangan yang melangkaui Malaysia,” katanya.

Produk utama yang diperkenalkan menerusi platform itu ialah Horizon Infinite, pelan insurans hayat berkaitan indeks dalam denominasi mata wang asing yang direka bagi menyokong pemeliharaan modal jangka panjang dan perancangan pewarisan antara generasi.

Pelan berkenaan menggunakan struktur pembayaran premium terhad, membolehkan penyertaan pemegang polisi sehingga usia 80 tahun serta menawarkan kadar lantai sifar peratus bagi Akaun Indeks, selain membolehkan pemegang polisi mengambil bahagian dalam potensi kenaikan pasaran.

Selain penyelesaian kewangan, Allianz Eterna turut menawarkan kemudahan gaya hidup menerusi program Exclusives yang merangkumi duta perhubungan khusus, khidmat pengurusan saringan kesihatan VIP, perlindungan insurans perjalanan antarabangsa serta acara eksklusif mengikut keperluan pelanggan.

Penyelesaian Allianz Eterna akan dipasarkan menerusi rakan kongsi perbankan insurans kumpulan, broker antarabangsa dan penasihat kewangan bebas.

Dalam perkembangan berkaitan, Allianz Life Insurance Malaysia melihat potensi pertumbuhan dua digit yang kukuh dalam segmen HNW, didorong peningkatan kekayaan isi rumah serta permintaan pelanggan terhadap penyelesaian kewangan luar negara.

Slavich berkata, pengembangan itu turut didorong permintaan daripada pelanggan sedia ada yang semakin berminat mempelbagaikan portfolio melalui aset antarabangsa dan produk dalam denominasi mata wang asing.

Bagaimanapun, pihak pengurusan tidak mendedahkan sasaran kutipan premium, jumlah pelanggan atau sumbangan kewangan yang dijangka daripada perniagaan baharu itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini