JIM Allianz Duo Highway Challenge 2026 sasar 15,000 peserta

JIM Allianz Duo Highway Challenge 2026 sasar 15,000 peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IJM Corporation Berhad (IJM) dengan kerjasama Allianz Malaysia akan menganjurkan IJM Allianz Duo Highway Challenge (DHC) 2026 dengan sasaran 15,000 peserta sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara larian unik di dua lebuh raya utama negara.

Acara yang dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos ini turut menawarkan pengalaman larian bertaraf antarabangsa apabila diperakui oleh World Athletics, merentasi dua laluan ikonik iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA-E9) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE-E10).

IJM dalam kenyataan berkata, penganjuran edisi kali ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta Pesuruhjaya Sukan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan acara.

“Turut serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sekaligus menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan acara berjalan selamat dan berkualiti tinggi.

“Anjuran bersama oleh Besraya (M) Sdn Bhd, New Pantai Expressway Sdn Bhd dan EC Pixels Asia juga telah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian utama yang paling dinanti-nantikan di rantau ini,” katanya.

Menurut IJM, acara itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua organisasi dalam mempromosikan gaya hidup sihat, memupuk persekitaran larian yang inklusif serta menyokong perkembangan komuniti pelari di Malaysia.

Pendaftaran dibuka bermula 26 April hingga 22 Jun 2026 melalui laman rasmi, dengan pelbagai ganjaran eksklusif termasuk diskaun pendaftaran awal kepada peserta edisi terdahulu sebagai penghargaan atas sokongan berterusan.

“Tawaran diskaun segera berdasarkan harga pendaftaran awal juga turut diberikan kepada pelari yang pernah menyertai edisi DHC sebelum ini sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN