KEMBALI menapak di Kampung Kedondong, tentu kita akan bersua dan dapat melihat kesan perjuangan Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau secara lebih dekat dan kedamaian sebuah kampung tradisional di mukim Pulau Tawar terletak di pesisir Sungai Pahang.
Pengunjung hanya dapat melihat kesan sejarah perjuangan tokoh itu bersama bapanya, Imam Rasu Shahrum (Tok Gajah) pada abad ke-19 di Kampung Kedondong, Pulau Tawar kira-kira 35 kilometer dengan bandar Jerantut.
Kampung kelahiran tokoh yang tersohor itu kini dimamah sepi apabila berlaku penghijrahan orang muda keluar mencari rezeki dan cuma kicauan burung seolah-olah menceritakan sejarah di situ benar wujud dan tidak sewajarnya dilupakan.
Makam Mat Kilau kerap dikunjungi ramai, manakala sebuah masjid lama yang dibina pada abad ke-18 yang asal dibina oleh pedagang Islam dari Sumatera menjadi pusat pertemuan tokoh itu bersama bapanya, Tok Gajah dengan penduduk setempat mengembangkan syiar Islam.
Kini cuma kesan sejarah Mat Kilau dikunjungi oleh pelawat domestik terdiri pelajar sekolah dan penuntut universiti secara berkala, iaitu ketika bulan kemerdekaan bagi menajamkam pengetahuan dan semangat patriotisme berasaskan perjuangan tokoh tersebut.
Seperkara yang menarik, baru-baru ini Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kedondong/Majid mengadakan program mengimbau zaman tori dengan mengadakan pasar terbuka menjual makanan tempatan sambil menyaksikan aktiviti kesenian berkonsepkan sejarah era Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di situ.
Program dikenali sebagai Literasi Pendaftaran Melalui Inisiatif Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti ‘Mengimbau Jaman Tori’ selama dua hari anjuran bersama JPKK dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dihadiri anak perantau dari luar kembali ke kampung dan pengunjung tempatan.
Program kali ketiga itu menampilka
n pasar jualan berkonsepkan era Mat Kilau pada awal abad ke-19 di samping diwarnai busana Melayu zaman dahulu yang digayakan oleh pengunjung dan peniaga, pelbagai jenis makanan termasuk kuih-muih tradisional dan hasil kreativiti reka bentuk gerai jualan.
Lebih menarik di hadapan setiap gerai tertera banting dan pelekat tulisan jawi nama jenis makanan termasuk kuih-muih serta bahasa ‘kolokial’, iaitu pertuturan dialek Pulau Tawar yang diwarisi sejak empat dekad lalu oleh penduduk tempatan termasuk ketika era Pahlawan Mat Kilau.
Pengerusi JPKK Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, program kali ketiga itu bertemakan ‘Mengimbau Jaman Tori’ untuk memperlihat semula keunikan pelbagai jenis makanan tempatan penduduk Pulau Tawar termasuk artifak kesenian khususnya sebelum dan pada era Mat Kilau antara tokoh yang merintis semangat patriotisme menentang penjajah Inggeris di kampung tersebut.
“Pengunjung berpeluang berbelanja makanan tempatan menerusi jualan di 30 gerai yang dibina daripada kayu hutan dan buluh oleh peniaga di sini sambil menikmati pelbagai acara kesenian termasuk memeriahkan aktiviti yang pernah dilakukan oleh penduduk dalam era Mat Kilau.
“Makanan tempatan terutamanya kuih-muih yang dijual belum pernah dilihat atau dinikmati oleh generasi hari ini antara yang cukup mengujakan selain memberikan pengetahuan sejarah mengenai aktiviti harian penduduk zaman lampau,” katanya.
Tambahnya, JPKK sangat menghargai sumbangan JPN bersempena program itu mengadakan inisiatif MEKAR dengan memberikan perkhidmatan lebih dekat kepada masyarakat mukim Pulau Tawar mengenai pemahaman penting dokumen pengenalan diri.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat mene
rusi Program Literasi Pendaftaran Melalui Inisiatif MEKAR Komuniti.
Beliau berkata, program bertemakan ‘Mengimbau Jaman Tori’ dapat mengangkat warisan kehidupan masyarakat zaman dahulu sambil menyampaikan mesej bahawa dokumen pengenalan diri merupakan warisan identiti yang perlu dimiliki serta dipelihara oleh setiap rakyat negara ini.
“Melalui inisiatif MEKAR, JPN telah dan mengadakan perkhidmatan lebih dekat kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar, pedalaman, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang sukar hadir ke pejabat JPN,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Kedondong, Syamsul Adib Mohd. Ali Hanapiah berkata, program ini bukan sahaja menjadi wadah penghargaan terhadap khazanah budaya, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi lama dan baharu untuk menyemai kecintaan serta tanggungjawab terhadap warisan kampung ini sejak beberapa abad lalu dan mengimbas semula perjuangan Mat Kilau.
“Konsep pasar ‘zaman tori’ ini merupakan jualan pelbagai jenis makanan warisan orang-orang tua sebelum ini mampu menjana pendapatan peniaga di sini malahan menitip pengetahuan kepada pengunjung khususnya dalam kalangan generasi hari ini,” katanya.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Anuar Rahman berkata, dia teruja apabila melihat sebilangan besar penduduk di situ mengenakan busana Melayu era Mat Kilau.
“Menjengah lokasi pasar jualan di sini seolah-olah kita benar-benar dibawa kembali kehidupan era Mat Kilau atau sebelumnya memperlihat aspek sosial dan strata masyarakat Melayu pada abad lalu saling bekerjasama, kebersamaan budaya serta kaya dengan warisan makanan dan kesenian,” katanya. – Mingguan Malaysia











