KUALA LUMPUR: 35 tahun lalu, Datuk Seri Sheila Majid mencipta sejarah apabila menghimpunkan hampir 15,000 penonton di Stadium Negara menerusi Konsert Legenda.
Tepat pada tarikh bersejarah itu, 27 November, Ratu Jazz negara itu kembali ke pentas, kali ini menghidupkan nostalgia menerusi iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
Berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Konsert Amal MPO: Sheila Majid 35th Legenda Anniversary bukan sekadar mengimbau kenangan malah meraikan legasi seni penyanyi yang sudah berdekad mewarnai industri muzik tanah air.
Jika dahulu Stadium Negara menjadi saksi kehebatan Sheila sebagai penyanyi solo, kali ini alunan muzik orkestra di bawah pimpinan pengarah Muzik, Ahmad Muriz Che Rose memberikan dimensi baharu kepada karya-karya malar segarnya.
Membuka tirai persembahan dengan Prelude D’ Legenda dan Legenda Overture, konsert tersebut membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Sheila yang sarat dengan elemen jazz, pop dan sentuhan klasik.
Karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti Aduh Sayang, Tunggu Sekejap, Jeritan Batinku, Getaran Jiwa dan Engkau Laksana Bulan diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik orkestra yang memperkayakan melodi asalnya.
Turut melengkapi persembahan adalah rangkaian lagu secara medley antaranya Bunyi Gitar, Bila Larut Malam dan Jelingan Manja serta Kisah Rumah Tangga dan Tiru Macam Saya.
Sheila juga tidak melupakan deretan lagu popularnya apabila mempersembahkan Dia, Pengemis Muda, Tua Sebelum Waktunya, Fikirkan Dulu, Warna, Antara Anyir dan Jakarta serta Aku Cinta Padamu.
Namun, tidak lengkap rasanya sebuah konsert Sheila Majid tanpa Sinaran, lagu ikonik yang cukup sinonim dengan penyanyi itu sejak era 1980-an.
Dendangan Sinaran sebagai persembahan tambahan (encore) menjadi pelengkap manis kepada sebuah malam yang meraikan perjalanan seni dan keutuhan karya Sheila merentas generasi.
Mengimbas sejarah, Sheila yang memulakan kerjaya nyanyian pada 1985 tampil dengan album solo keempatnya, Legenda pada 1990, terbitan Roslan Aziz di bawah EMI Sdn. Bhd.
Album tersebut memperlihatkan keberanian Sheila meneroka sisi baharu muzik tempatan dengan memberikan sentuhan kontemporari kepada karya-karya Allahyarham P. Ramlee.
Kejayaan album berkenaan membawa kepada siri jelajah konsert yang mencapai kemuncaknya pada 27 November 1991 menerusi persembahan di Stadium Negara.
Lebih daripada sebuah sambutan ulang tahun, konsert kali ini turut mendukung usaha MPO dalam mencungkil bakat muzik tempatan, memperluas program kemasyarakatan serta memupuk minat generasi muda terhadap muzik.
Ini bukan kali pertama Sheila berkolaborasi dengan MPO selepas menjayakan persembahan sempena ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam industri muzik pada 2010 serta Konsert Amal MPO pada 2024.
Konsert berkenaan bakal meneruskan persembahan malam kedua di lokasi sama pada 30 November ini. – UTUSAN








