SHAH ALAM: Kerajaan perlu mengenakan tindakan lebih tegas terhadap individu yang mengambil kesempatan di atas kehangatan penganjuran konsert selebriti antarabangsa, Coldplay apabila menjual semula tiket sehingga RM43,000 berbanding harga asal RM228 – RM3,088.
Tindakan ambil ‘untung atas angin’ itu dilihat berleluasa berlaku dalam media sosial oleh pengguna tidak bertangunggjawab yang cuba memanipulasi harga jualan tiket berikutan permintaan tinggi daripada peminat kumpulan pop rock Britain itu yang akan menganjurkan konsert jelajahnya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini.
Ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid berkata, beliau menyokong tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), namun, hukuman maksimum perlu dikenakan terhadap ‘ulat tiket’ itu.
“Maaf cakap jika ada yang beli juga tiket daripada ulat tiket ini, mereka melakukan satu tindakan yang kurang bijak. Daripada beli tiket RM43,000 untuk sekeping tiket, lebih baik tengok konsert Coldplay di luar negara.
“Tetapi sekarang, tiada lagi laman yang menjual semula tiket konsert tersebut dalam media sosial. Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan ambil tindakan tegas terhadap kumpulan ini.
“Jika tiada tindakan diambil, percayalah mereka akan membuat perkara sama pada masa datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis Jamuan Jalinan Mesra Keluarga Besar Mandailing baru-baru ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan KPDN meminta orang ramai membuat laporan serta mengemukakan bukti kepada pihaknya bagi membolehkan mereka mengambil tindakan terhadap ulat tiket konsert Coldplay.
Pada masa sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjelaskan wakil kementeriannya akan bertemu dengan penganjur konsert berkenaan bagi mendapatkan situasi sebenar urusan jualan tiket konsert tersebut.
Dalam pada itu, Sheila yang juga peminat tegar band yang wujud sejak 1997 itu memberitahu, beliau dan suami, Datuk Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali sebagai Acis, menghabiskan masa hampir dua hari di hadapan komputer untuk mendapatkan tiket konsert itu.
“Berjam lamanya kami tunggu supaya dapat mengakses portal yang menjual tiket itu, tetapi banyak kali gagal membuat transaksi jualan. Namun, Rabu lepas berjaya juga dapatkan dua tiket,” ujarnya. – UTUSAN










