Isu harga tiket Coldplay mahal: buat aduan, kemuka bukti

Isu harga tiket Coldplay mahal: buat aduan, kemuka bukti

KUMPULAN rock dari Britain ini akan menjayakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pengguna yang mempunyai bukti wujud unsur penipuan dalam urusan pembelian tiket konsert hiburan Coldplay boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah mana-mana akta yang dikuatkuasakan kementerian ini melalui bukti-bukti berkaitan.

Pada masa sama, pihaknya menyeru kepada semua peniaga agar lebih beretika dalam urusniaga dan mengelakkan daripada melakukan kesalahan di bawah mana mana undang-undang.

“Berhubung isu penjualan semula tiket konsert Coldplay pada harga terlalu tinggi, KPDN ingin menasihati pengguna agar membuat pembelian bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah.

“Sebagai pelanggan, pengguna berhak memilih tiket pada harga bersesuaian dengan kemampuan mereka dan penawaran harga berpatutan oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut memberitahu, kementeriannya akan mengadakan perjumpaan dengan penganjur bagi mendapatkan situasi sebenar yang berlaku kepada jualan tiket konsert terbabit.

Tambahnya, KKD akan meneliti mekanisme pembelian tiket tersebut terutama melibatkan isu platform digital, sama ada perlu ada sekatan ataupun syarat-syarat dicadangkan ataupun melihat kepada kesesuaian keadaan.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kewujudan akaun-akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay namun dikatakan dikendalikan oleh ulat tiket pada harga yang lebih mahal.

Kumpulan rock dari Britain itu akan menjayakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam siri jelajah Music of The Spheres World Tour. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.