RENUNGAN sayu sepasang mata seekor anak paus bungkuk yang dirakam jurugambar, Rachel Moore ketika menyelam di perairan Polinesia Perancis dua tahun lalu, bukan sekadar memberi bayangan insiden tragis yang berlaku kepadanya tetapi turut memberi pengajaran yang cukup besar kepada dunia.
Paus muda yang digelar ‘Sweet Girl’ itu dirakam Moore ketika mereka bertentang mata dalam satu pertemuan di perairan sekitar pulau gunung berapi Mo’orea pada Oktober 2024.
Pada pertemuan pertama, paus itu menghampirinya sebaik sahaja Moore memasuki air. Namun, Moo mengambil masa hampir sejam untuk membiasakan diri dengan kehadiran haiwan berkenaan kerana bimbang akan saiz dan kekuatannya.
Menurutnya, paus itu cukup bijak dan berhati-hati, sentiasa mengawal pergerakan dan memastikan kedudukan sirip dadanya tidak mengenai Moore ketika menghampirinya.
Mereka berada dalam jarak amat dekat tanpa bersentuhan, malah Moore menghabiskan kira-kira 10 minit bertentang mata dengan paus itu tanpa mengambil sebarang gambar.
Pada hari berikutnya, Moore bertemu semula dengan Sweet Girl dan kali ini sempat merakam gambar mata paus berkenaan ketika haiwan itu berguling untu
k melihatnya menggunakan kedua-dua belah mata.
Tidak lama selepas pertemuan itu, ribut melanda dan ombak mula bergelora sebelum Sweet Girl berenang menuju ke arah Tahiti.
Namun, empat hari kemudian, Moore menerima berita paus itu ditemukan dalam keadaan cedera berhampiran pantai selepas dirempuh sebuah feri penumpang yang bergerak laju.
Menurut Moore, rahang bawah paus itu patah sepenuhnya, manakala rahang atasnya terputus dan lubang pernafasannya turut mengalami kecederaan.
Sweet Girl mengalami kesakitan selama beberapa jam sebelum akhirnya mati akibat kecederaan selepas turut diserang jerung harimau.
Badan bukan kerajaan (NGO) Sea Shepherd turut berkongsi video menyayat hati yang memaparkan penderitaan paus muda itu, termasuk suara haiwan berkenaan yang kedengaran meraung kesakitan.
Moore berkata, kematian paus itu mendorongnya menggunakan gambar itu untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman pelanggaran kapal terhadap hidupan marin serta menggesa perubahan peraturan.
“Saya berasa sangat loya dan tidak sanggup menerima kenyataan itu. Sejujurnya, saya merasakan seolah-olah lautan sendiri turut berduka pada hari itu.
“Selepas mengetahui kematiannya, saya sedar, saya perlu menggunakan gambar itu untuk sesuatu yang lebih bermakna, iaitu menarik perhatian orang ramai dan mendesak perubahan,” katanya kepada BBC.
Menurut penasihat saintifik badan kebajikan pemuliharaan, International Fund for Animal Welfare (IFAW), Russell Leaper, lebih 20,000 paus dilaporkan mati setiap tahun di seluruh dunia akibat dirempuh kapal.
Bagaimanapun, angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi kerana kebanyakan kejadian tidak dikesan atau dilaporkan.
Leaper berkata, kejadian hanya direkodkan apabila pelanggaran disaksikan atau bangkai paus ditemukan, sedangkan kapal besar mungkin merempuh haiwan berkenaan tanpa disedari anak kapal.
Pelanggaran kapal merupakan antara empat ancaman utama terhadap paus, selain tangkapan sampingan, terjerat pada peralatan menangkap ikan dan pencemaran bunyi bawah laut.
Penyelidik British Antarctic Survey, Jennifer Jackson berkata, kesan pelanggaran kapal sering tidak disedari kerana bangkai haiwan yang mati tenggelam ke dasar laut.
Malah, paus yang terselamat juga boleh mengalami kecederaan dalaman serius, termasuk tulang rusuk patah dan kerosakan organ, yang menyebabkan kematian secara perlahan.
“Apabila kita memandu di jalan raya, kita boleh melihat bangkai haiwan yang dilanggar kenderaan. Tetapi kita tidak dapat melihatnya di lautan. Haiwan yang kita langgar hanya tenggelam ke dasar laut,” katanya.
Kajian terhadap empat spesies paus iaitu paus bungkuk, paus biru, paus sirip dan paus sperma mendapati laluan perkapalan global bertindih dengan 92 peratus kawasan habitat spesies berkenaan.
Jackson berkata, kurang tujuh peratus kawasan berisiko tinggi itu dilindungi atau diuruskan melalui langkah pemuliharaan.
Bagaimanapun, perlindungan tambahan yang meliputi hanya 2.6 peratus daripada permukaan lautan sudah memadai untuk merangkumi semua kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko perlanggaran paling tinggi.
Leaper berkata, langkah paling berkesan untuk mengurangkan risiko adalah dengan memisahkan laluan kapal daripada kawasan tumpuan paus.
Jika langkah itu tidak dapat dilaksanakan, kapal perlu memperlahankan kelajuan kepada 10 knot atau kurang bagi mengurangkan risiko perlanggaran.
Bukti keberkesanan langkah itu dapat dilihat di Teluk Hauraki, New Zealand apabila pengurangan kelajuan kapal kepada kira-kira 10 knot berjaya mengurangkan hampir separuh risiko perlanggaran maut terhadap paus Bryde dalam tempoh dua tahun.
Antara 1996 hingga 2014, pelanggaran kapal di kawasan itu dianggarkan mengorbankan kira-kira dua ekor paus Bryde setiap tahun.
Bagaimanapun, tiada lagi kejadian pelanggaran kapal dilaporkan sejak had kelajuan secara sukarela diperkenalkan.
Leaper berkata, kapal yang bergerak lebih perlahan memberikan masa kepada paus untuk mengesan kehadirannya dan mengelak, selain mengurangkan kemungkinan perlanggaran membawa maut.
Bagaimanapun, pelaksanaan langkah itu berdepan cabaran kerana lebih 80 peratus barangan dunia diangkut menggunakan kapal, sekali gus menyebabkan perjalanan mengambil masa lebih lama jika kelajuan dikurangkan.
Susulan kematian Sweet Girl, Moore melancarkan petisyen menggunakan gambar paus itu bagi mendesak kerajaan Polinesia Perancis mengehadkan kelajuan kapal ketika musim penghijrahan paus.
Petisyen itu memperoleh hampir 50,000 tandatangan dan membawa kepada pengenalan peraturan baharu pada 2025 yang mewajibkan kapal besar melebihi 12 meter memperlahankan kelajuan kepada 10 hingga 12 knot dalam lingkungan satu batu nautika dari pulau berkenaan sepanjang musim penghijrahan paus.
Moore berkata, selepas setahun berusaha, kerajaan meluluskan undang-undang lebih ketat bagi mengawal kelajuan kapal.
Pada 2025, Moore turut dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Foto Hari Lautan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi gambar Sweet Girl itu.











