Anugerah Sastera Perlis direalisasikan - Utusan Malaysia

Anugerah Sastera Perlis direalisasikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang diadakan secara dwitahunan, penulis di setiap negeri turut berpeluang menerima pengiktirafan peringkat negeri melalui penganjuran hadiah sastera negeri masing-masing.

Bagaimanapun, tidak semua negeri dapat mengadakan hadiah sastera ini di peringkat negeri disebabkan oleh pelbagai faktor atau halangan.

Perlis misalnya, salah sebuah negeri di Malaysia yang agak lambat mengadakan hadiah sasteranya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, menjelang berakhirnya tahun 2026 ini, diari penulis Perlis mencatatkan suatu peristiwa amat bermakna apabila majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Perlis (ASNP) sulungnya berjaya direalisasikan.

Majlis penyampaian anugerah ASNP 2026 ini berlangsung di Kangar, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, apabila Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut mencemar duli menyempurnakan penyampaian anugerah kepada penerima kategori utama.

Kategori utama ini terdiri daripada Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026 (RM15,000.00), Anugerah Persuratan Negeri Perlis (RM6,000.00), Anugerah Citra Negeri Perlis (RM4,000.00), Anugerah Sasterawan Sepanjang Hayat 2026 (Anugerah Khas Juri – RM4,000.00) dan Hadiah Khas Penulis Muda Negeri Perlis (RM3,000.00).

Selain kategori utama, turut disenaraikan untuk diberikan pengiktirafan adalah Kategori A: Buku Sastera (novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kumpulan drama dan kumpulan esei/kritikan sastera – RM2,000.00 setiap satu)) dan Kategori B: Karya Eceran (cerpen, puisi moden, puisi tradisional, drama dan esei/kritikan sastera RM1,000.00 setiap satu).

Semua karya yang dihantar untuk dinilai dan diberikan pengiktirafan merupakan karya-karya yang diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 2023, 2024 dan 2025.

Menyingkap sejarah perjuangan untuk merealisasikan anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada para pengkarya anak Perlis ini, ternyata prosesnya memakan masa agak panjang.

Berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 8 Disember 1996, bagi menghargai sumbangan penulis Perlis: Wujudkan hadiah sastera dan ditulis oleh Nordin Saad ini, harapan untuk mendapatkan pengiktirafan ini sudah sekian lama bermula.

Ketua Satu, Persatuan Penulis Perlis (3P) ketika itu, Rejab FI merupakan penggerak utama bagi mendapatkan suatu pengiktirafan kepada golongan pengkarya negeri Perlis. Namun, harapan tersebut belum menemui titik kejayaannya sehinggalah Rejab meninggal dunia pada 30 September 2025.

Sehubungan dengan kejayaan merealisasikan Anugerah Sastera Negeri Perlis (ASNP) 2026 dan pertama kalinya ini, pastinya para pengkarya dan khalayak sastera amat berbangga dengan kesungguhan Menteri Besar Perlis, Tuan Abu Bakar Hamzah untuk memberikan pengiktirafan peringkat negeri ini kepada golongan pengkaryanya.

Usaha dan kerjasama erat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis (JKKNPs) dan pelbagai pihak berkaitan turut membantu kelancaran pelaksanaannya, amatlah dihargai dan diharap akan berterusan.

Mendahului senarai penerima anugerah ialah Abdul Rahim Abdullah (Sasterawan Negeri Perlis 2026), Ku Seman Ku Hussain (Anugerah Persuratan Negeri Perlis 2026) dan Dr. Hazman Hassan (Anugerah Citra Negeri Perlis 2026).

Selain, Intan Juliana Johari (Hadiah Khas Penulis Muda Negeri Perlis 2026) dan Mokhtar Abdul Karim atau Mokhtar AK (Anugerah Sasterawan Sepanjang Hayat 2026/Anugerah Khas Juri).

Sementara itu, penulis kelahiran Bintong, Nordin Saad berjaya meraih kemenangan bagi dua kategori iaitu Kategori A: Buku Sastera (Harum Manis Atuk, DBP,2023) dan Kategori A: Kumpulan Cerpen (Puisi Buat Mama, Penerbitan Pena-Madani,2025).

Penulis prolifik, Ridzuan Kamis pula memenangi Kategori A: Buku Sastera Kumpulan Puisi (Paradoks Aku Mencari Teduh, Engkau Mencari Redup, Penerbitan Pena-Madani,2024).

Bagi Kategori A: Buku Sastera (Esei/Kritikan Sastera) telah dimenangi oleh Mohamad Zaki Abdul Halim (Pantun Citra, Irama dan Bahasa, Penerbit UM,Kuala Lumpur, 2025).

Di samping itu, Kategori B: Karya Eceran (Cerpen) dimenangi oleh Dr. Norshah Aizat Shuaib atau Shahkang (Lipas-Lipas nan Merayap di Meja Makan,Berita Harian, 7 Mei 2023) dan Kamarudin On (Jalak Lenteng, Mingguan Malaysia,23 November 2023).

Bagi Kategori B: Karya Eceran (Puisi Moden) pula menampilkan Mohamad Shaidan (Fikiran dan Kemahuan yang Sukar Kujawab, Dewan Sastera, Bil 2/2025, DBP), Ahmad Shukri Abdullah (Pengukir Berhala, Antologi Bukan dari Api, Kelab Penyair Deklamator Kebangsaan,2025) dan Ridzuan Ahmad (Sepasang Sayap, Dewan Tamadun Islam, Bil 9/2024,DBP) sebagai pemenang.

Dalam pada itu, Kategori B: Karya Eceran (Esei/Kritikan Sastera) diraih oleh Ridzuan Kamis (Mengverbavisualkan Makna Harfiah dan Akliah, Dewan Sastera,Bil 10/2023,DBP).

Sementara itu, Kategori B: Karya Eceran (Puisi Tradisional) dimenangi oleh Nordin Saad yang menggarap pantun berkait (Bahasa Pusaka Bangsa, Pelita Bahasa Bil 11/2024,DBP) dan Ridzuan Kamis yang menghasilkan pantun empat kerat (Guru Bitara Mencerdik Bangsa, Antologi Kias dan Kalbu, IPG Kampus Perlis, 2024).

Pastinya, para pengkarya mengharapkan anugerah ini akan berterusan dan menepati ura-ura untuk menjadikannya sebagai acara dwitahunan, sekali gus mampu menarik minat para pengkarya muda untuk melestarikan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini