BEIJING: Sebuah zoo di China memutuskan untuk menamatkan program diet terhadap tarikan utamanya, seekor harimau bintang bertubuh gempal yang pernah tular di media sosial berikutan faktor usianya yang semakin lanjut.
Harimau bintang berperut buncit bernama Pan Baobao yang dianggarkan berusia antara 18 hingga 19 tahun itu merupakan penghuni paling popular di Zoo Taman Panzhihua, wilayah Sichuan di barat daya China.
Rakaman video haiwan berkenaan mula mencuri tumpuan warganet pada awal tahun 2024 kerana bentuk fizikalnya yang gempal menyerupai watak Pegawai Clawhauser, seekor citah gemuk dalam filem animasi terbitan Disney pada 2016, Zootopia.
Populariti mendadak itu berjaya meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke zoo tersebut, sekali gus mendorong pihak pengurusan memperluaskan kawasan kurungannya dan meletakkannya di bawah program diet.
Bagi spesies harimau bintang dalam kurungan, jangka hayat haiwan itu mampu mencecah lebih 20 tahun.
Bagaimanapun, seorang kakitangan zoo yang enggan dikenali memaklumkan kepada agensi berita AFP menerusi panggilan telefon pada Jumaat bahawa haiwan kesayangan ramai itu kini sudah tua dan sukar untuk menurunkan berat badan.
“Menurunkan berat badannya bukan lagi matlamat utama kami,” katanya sambil menjelaskan tumpuan zoo ketika ini adalah memastikan tahap kesihatan keseluruhan serta kualiti hidup haiwan itu terjamin.
Menurut beliau, faktor kulit yang semakin mengendur akibat penuaan turut menyebabkan harimau bintang berkenaan kelihatan lebih berisi daripada biasa.
“Meneruskan usaha untuk memaksanya menurunkan berat badan sebenarnya boleh memudaratkan kesihatannya,” ujarnya.
Berbeza dengan watak kembarnya dalam filem Zootopia yang gemar memakan donat, Pan Baobao di Sichuan tetap mengikuti pelan pemakanan seimbang yang dirangka khas oleh doktor haiwan.
Kakitangan itu memaklumkan haiwan tersebut mengambil kira-kira setengah kilogram daging lembu setiap hari berserta sedikit daging ayam.
“Ia perlu makan secukupnya agar berasa kenyang dan makanan itu mestilah berkhasiat. Kami tidak lagi akan memaksanya berdiet semata-mata untuk mengurangkan berat badan,” katanya. -AFP











