Piring hitam kembalikan nostalgia Hasnul Rahmat - Utusan Malaysia

Piring hitam kembalikan nostalgia Hasnul Rahmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat mengumpul piring hitam sejak kecil bukan sekadar menjadi hobi buat pelakon berpengalaman, Hasnul Rahmat, malah turut mengembalikan nostalgia membesar dalam keluarga yang begitu dekat dengan dunia muzik sekitar era 1970-an.

Bagi Hasnul, setiap keping piring hitam atau rekod yang dimiliki mempunyai nilai sentimental tersendiri, terutama apabila mengingatkannya kepada zaman kanak-kanak ketika mendengar lagu menggunakan pemain rekod milik bapanya.

“Saya lahir pada tahun 1971, jadi saya membesar pada zaman orang mendengar muzik menggunakan piring hitam. Ayah saya pula seorang guru dan juga pemuzik. Beliau bermain klarinet dan mengajar orang bermain saksofon.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak kecil, saya sudah biasa mendengar muzik Melayu asli moden, klasikal dan lagu kanak-kanak. Muzik Melayu asli moden pada era 1950-an mempunyai pengaruh irama seperti cha-cha dan mambo. Antara piring hitam terawal yang saya dengar adalah lagu kanak-kanak dari Indonesia.

“Banyak lagu yang lucu dan menghiburkan. Saya masih ingat, waktu kecil pernah merosakkan jarum pemain piring hitam kerana terlalu seronok bermain dengannya. Tetapi saya tidak pernah dimarahi, mereka cuma menggantikan jarum itu,” katanya kepada Pancaindera.

Mengimbas kenangan zaman persekolahan, pelakon berusia 55 tahun itu berkata, dia pernah menyimpan wang saku sedikit demi sedikit semata-mata mahu membeli album kegemaran yang ketika itu dijual sekitar RM14 hingga RM15 sekeping.

“Dahulu, kalau mahu beli piring hitam, saya kena simpan duit sekolah. Kadang-kadang kami berkongsi duit untuk membeli satu album. Selepas dapat piring hitam itu, kami pindahkan lagu ke dalam kaset supaya semua orang boleh mendengarnya.

“Zaman itu juga kami suka buat ‘mixtape’. Kita pilih lagu yang diminati, gabungkan dalam satu kaset dan boleh bawa ke mana-mana. Main dalam kereta, radio atau ketika pergi berkelah.Dahulu, harga piring hitam sekitar RM14 atau RM15. Sekarang, yang terpakai pun ada yang berharga RM80 hingga RM100. Kalau cetakan pertama atau album yang jarang ditemukan, harganya boleh jadi lebih mahal.

“Sebenarnya hobi ini boleh jadi ketagihan. Sekali sudah mula, susah hendak berhenti. Kadang-kadang kalau jumpa album yang kita mahu tetapi tidak beli, malam pun boleh teringat-ingat sebab takut orang lain ambil,” kongsinya.

Demi mengimbau kenangan bersama bapanya, pelakon itu mendedahkan dia sanggup membeli semula album yang pernah hilang dan pemain rekod keluaran tahun 1988 yang sama digunakan keluarganya dahulu.

“Kadang-kadang saya sudah ada album itu dalam bentuk cakera padat (CD), tetapi saya beli juga versi piring hitam. Ada juga album yang pernah hilang, jadi saya beli semula sebab mahu dapatkan nostalgia itu balik. Sekarang saya pakai balik pemain rekod tahun 1988 yang macam ayah saya biasa pakai. Ayah saya beli dulu set hi-fi. Saya beli betul-betul sama nak dapatkan nostalgia balik. Saya beli yang terpakai kerana model itu sudah tidak dikeluarkan lagi,” jelasnya.

Tidak pernah mengehadkan minat kepada satu aliran muzik, Hasnul mengakui setiap genre termasuk rock, folk, jaz, blues, bossa nova dan rap mempunyai keistimewaan dan menjadi pilihan mengikut suasana hati serta emosi ketika mendengarnya.

“Muzik memang banyak memberikan inspirasi kepada saya dalam lakonan. Kadang-kadang saya buat mixtape sendiri untuk sesuatu watak. Kalau saya rasa watak itu mempunyai jiwa punk rock, saya dengar muzik punk rock.

“Kalau wataknya lebih sesuai dengan bossa nova atau blues, saya akan dengar muzik itu. Saya bayangkan muzik apa yang mungkin didengar oleh watak tersebut. Daripada situ, ia membantu saya memahami dan membentuk karakter,” ujarnya.

Meskipun dunia muzik kini didominasi platform penstriman digital, pelakon itu menganggap pengalaman mendengar muzik secara fizikal lebih bermakna kerana pendengar boleh meneliti lirik, reka bentuk kulit dan maklumat pemuzik yang terlibat.

“Seronoknya dengar piring hitam dulu sebab grafik kulit album cantik. Kita boleh pegang, tengok gambar dan baca lirik pada sisipan album. Kalau Spotify, kadang-kadang belum habis satu lagu, saya sudah tukar kepada lagu lain.

“Terlalu banyak pilihan sampai kita hilang fokus. Bagi saya, piring hitam ada kehangatan bunyinya tersendiri. Kita lebih fokus dan menghargai muzik secara menyeluruh,” jelasnya.

Mengulas kecenderungan generasi muda yang kembali berminat mengumpul piring hitam, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu menyambut baik perkembangan tersebut, namun mengingatkan supaya hobi itu dilakukan atas dasar minat dan bukannya mengikut trend.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini