SETIAP kali penghujung tahun berlaku Monsun Timur Laut menyebabkan penduduk di pesisir sungai, pantai malahan di kawasan bandar sekalipun berdepan dengan bencana banjir.
Bah yang melanda kawasan kampung, tempat tinggal dan premis di bandar menunjukkan kekuasaan Allah SWT dan kita sebagai makhluk merupakan insan yang lemah juga memerlukan kebergantungan dan pertolongan Allah.
Imam Masjid Kuala Keloi, Raub, Haji Abdul Majid Hussin, 66, berkata, persediaan berdepan sesuatu bencana, misalnya banjir merupakan peranan dan ikhtiar yang dilakukan penduduk dan pihak berkuasa berusaha mengelakkan kejadian yang tidak diingini membabitkan nyawa selain sebagai umat Islam tentu bergantung (tawakal) serta memohon pertolongan Allah.
“Usaha yang dilakukan oleh penduduk dan pihak berkuasa antara sebahagian daripada tanggungjawab dan tuntutan Islam untuk memelihara nyawa dan kerosakan atau kehilangan harta benda,” katanya di Kampung Kuala Keloi baru-baru ini.
Beliau berkata, firman Allah dalam surah an-Nisa’, ayat 71, bermaksud,” Bersedialah dan berjaga-jagalah…”
Abdul Majid menjelaskan berlakunya banjir antara musibah daripada Allah kepada manusia akibat perilaku (perbuatan) manusia itu sendiri ketika menyelenggarakan alam sekitar sehingga melibatkan gangguan ekologi dan kelestarian alam.
Katanya, penerokaan hutan, penebangan pokok bagi tujuan komersial, bukit-bukau ditarah, pembangunan tidak dicongak dengan betul, kelemahan sistem perparitan antara punca musibah banjir di kawasan pesisir sungai, pantai dan bandar yang mempunyai kepadatan ramai penduduk.
Allah berfirman dalam surah ar-Rum, ayat 41, bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
“Al-Quran telah menjelaskan (membuktikan) bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak cermat atau bertanggungjawab terhadap alam (muka bumi) ini,” katanya.
Abdul Majid berkata, sewajarnya kejadian banjir yang telah berlaku dan bakal berlaku setiap kali musim tengkujuh memberikan teladan dan istiqamah bagi kita menghargai dan menjaga alam sekitar dengan melaksanakan tatakelola pembangunan lebih terancang.
Namun begitu, katanya setiap kejadian ada hikmahnya yang tersendiri. Bencana berkenaan juga menguji sikap kita sebagai orang Islam dalam menghadapi ujian Allah yang perlu dihadapi dengan sabar.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 155, yang bermaksud, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”
Beliau berkata, setiap bencana yang berlaku menginsafkan kita serta istiqamah sentiasa mengingati-Nya dan melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Katanya, seperti bencana banjir yang pernah berlaku sebelum ini, usaha membantu mangsa yang terjejas perlu diteruskan sebagai tanggungjawab dengan menghulurkan bantuan makanan, pakaian, wang ringgit,tenaga dan membina petempatan baharu atas daya usaha pihak berkuasa.
“Saya sendiri bersama penduduk kampung ini pernah mengalami bah merah pada 2014 dan amat bersyukur banyak menerima bantuan luar selain kerajaan. Kami juga menerima bantuan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam dan orang perseorangan,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab serta pertolongan mempermudah mangsa banjir atau bencana lain yang mengalami kesusahan seiring dengan hadis riwayat Imam Muslim: “Barangsiapa yang mempermudah urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”
Tambahnya, setiap bencana yang diturunkan oleh Allah mendorong kita sedar serta insaf atas kecuaian dan kerakusan kita melanggar syariat Allah, misalnya seperti kelemahan manusia sendiri menyebabkan banyak berlaku kerosakan muka bumi.
Mengakhiri perbualan, Abdul Majid berkata, bencana banjir, gempa bumi, kebakaran dan sebagainya juga merupakan satu proses penghapusan dosa dan mengangkat darjat orang yang sabar yang sudah dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 155, bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengannya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.”











