MIAMI: Sebuah pesawat kargo UPS dan jet penumpang Copa Airlines bertembung di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencetuskan tindakan kecemasan pihak berkuasa lapangan terbang.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, menurut CBS News yang memetik kenyataan pegawai lapangan terbang.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Miami-Dade, pesawat terbabit ialah Boeing 767 milik UPS dan Boeing 737 kendalian Copa Airlines.
Pengarah Komunikasi Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Greg Chin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.15 malam (waktu tempatan) ketika sebuah pesawat yang baru mendarat dan sebuah lagi yang sedang berlepas bersentuhan di persimpangan dua laluan pergerakan pesawat.
“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya kepada CBS News Miami.
Beliau berkata, pesawat lain diarahkan menggunakan laluan pergerakan alternatif, namun kejadian itu tidak menjejaskan operasi lapangan terbang berkenaan.
Penerbangan UPS 358 dijadualkan berlepas dari Miami menuju Bogota, Colombia, manakala penerbangan Copa Airlines 427 sedang tiba dari Panama City, Panama, yang juga menempatkan ibu pejabat syarikat penerbangan itu.
Insiden itu berlaku ketika Lapangan Terbang Antarabangsa Miami masih berdepan kelewatan dan pembatalan penerbangan susulan arahan menghentikan sementara operasi penerbangan di seluruh negara yang dikeluarkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Jumaat.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy memberi amaran bahawa operasi penerbangan mengambil masa untuk kembali pulih seperti biasa ketika syarikat penerbangan berusaha menyusun semula kedudukan pesawat dan kru di seluruh negara.
Bagaimanapun, Ketua FAA, Bryan Bedford berkata pada Sabtu bahawa jadual penerbangan AS dijangka kembali normal menjelang penghujung Ahad.








