Politik permusuhan punca PH kalah PRN di tiga negeri

Politik permusuhan punca PH kalah PRN di tiga negeri

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Politik permusuhan dan kebencian yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kekalahan itu bagaimanapun turut dipengaruhi pelbagai faktor lain yang perlu diberi perhatian parti berkenaan.

Beliau berkata, antara perkara yang diperhatikannya ialah naratif politik yang dibawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelang penghujung kempen pilihan raya yang berbaur permusuhan yang disifatkannya tidak wajar untuk sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Politik yang paling dominan itu adalah perkara itu (politik permusuhan).

“Saya perhatikan pada akhir-akhir kempen, kita dengar bagaimana Presiden Pas membawa sebutan yang sangat tidak wajar untuk sebuah negara berbilang kaum dan agama kerana itu adalah percanggahan langsung dengan dengan anjuran Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita Muda Parti Amanah Negara (Warda) Nasional di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, pendekatan politik berasaskan kebencian dan sentimen kaum serta agama boleh meracuni pemikiran rakyat, sekali gus menjejaskan prinsip keadilan yang dianjurkan Islam.

Katanya, AMANAH bagaimanapun tidak menolak usaha penyatuan Melayu dan Islam, namun ia perlu berlandaskan ketakwaan serta keadilan dan bukannya ketaksuban terhadap kelompok tertentu.

“Jadi, biar rakyat, biar rakyat membuat pertimbangan, tapi kalau kita telah meracuni pemikiran rakyat, kalau menyokong PH-DAP bersama, maka Cina akan dominasi. Itu satu racun yang kita tidak boleh terima.

“Ini merupakan satu perkara yang sangat jahat dari sudut persaingan politik ya. Awak boleh buat apa sahaja tapi jangan garis memasuki garis permusuhan, perseteruan dan kebencian itu, sangat ditentang, tidak dianjurkan oleh Islam,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persiapan menghadapi PRU-16, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Amanah masih mempunyai masa untuk memperkemas gerak kerja parti termasuk mendekati pengundi bagi memenangi hati dan pemikiran mereka.

Katanya, AMANAH perlu memanfaatkan perkembangan positif ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan, selain memastikan pencapaian pentadbiran dapat dirasai masyarakat.

“Kami mungkin telah kalah dalam beberapa pertempuran, tetapi pastikan kita membuat persiapan yang lebih rapi dengan mendekati rakyat khususnya pengundi untuk memenangi hati budi mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama , Dzulkefly berkata, tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secara mengejut memandangkan perkembangan ekonomi negara ketika ini juga menunjukkan momentum yang baik, termasuk dalam aspek kewangan dan perindustrian.

Katanya, ia tiada sebab untuk Parlimen dibubarkan, melainkan berlakunya sesuatu perkara yang mendesak pembubaran segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini