Ribuan permohonan mahu sertai Rumah Bangsa - Utusan Malaysia

Ribuan permohonan mahu sertai Rumah Bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Setiausaha Agung UMNO, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI memaklumkan sambutan memberangsangkan terhadap inisiatif Rumah Bangsa dengan ribuan permohonan diterima sehingga kini berdasarkan lima kategori.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan dibantu jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, beliau berkata, permohonan dinilai atas prinsip keterbukaan tanpa sebarang syarat, dengan pendekatan seumpama “pengampunan” bagi menutup episod lalu dan memberi peluang baharu kepada semua yang ingin kembali bersama perjuangan parti.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut mengupas mengenai kecemerlangan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), episod ‘terjah’ dan pemutihan kartel di institusi pendidikan Mara selain usaha berterusan untuk merakyatkan Mara.

LIMA KATEGORI
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh Datuk terangkan mengenai kategori mereka yang dijemput menyertai Rumah Bangsa?
Kita ada lima kategori orang dalam konteks Rumah Bangsa. Pertama, orang yang pernah kena pecat, kedua orang yang kena gantung, ketiga, orang yang merajuk dan tidak aktif langsung, keempat orang yang lompat keluar daripada parti atas pelbagai faktor dan yang kelima adalah mereka yang memang tidak pernah terlibat dengan UMNO tapi mahu bersama terutama orang muda.

Berdasarkan semua kategori ini, berapa ramai yang nyatakan hasrat dan permohonan untuk sertai Rumah Bangsa setakat ini?
Untuk rekod tepat belum ada pada saya, tapi saya boleh kata ramailah. Maknanya kalau ikut semua kategori itu mencecah ribuan permohonan. Sebagai contoh, minggu lalu Puteri maklum 1,200 mohon dan Pemuda juga maklum kepada saya baru-baru ini 1,500 mahu memohon. Ini satu perkembangan positif.

Kita akan kumpulkan semua ini sebab kita ada Konvensyen 80 tahun UMNO pada 2 Mei depan, waktu itu, saya sebagai Setiausaha Agung akan umumkan berapa jumlah keseluruhan (yang sertai Rumah Bangsa) daripada pelbagai kategori itu.

TIADA SYARAT
Adakah sebarang syarat akan ditetapkan terhadap mereka yang memohon ini?
Semuanya kita layani atas prinsip yang sama. Maknanya, prinsipnya kita hendak mempermudahkan, macam amnesty (pengampunan). Kita tutup buku yang lepas.

Apa juga yang berlaku di waktu lepas, kita tidak mahu ungkit dan singkap, kita lihat ke hadapan. Kita hendak mendakap seberapa ramai orang Melayu yang cintakan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Ya, UMNO bukan sempurna. Tetapi, tidak ada orang yang boleh menafikan pengalaman, jasa dan kewibawaan UMNO dalam mencorakkan apa yang kita ada hari ini.

Sebab UMNOlah yang menerajui dan mempelopori pembangunan negara selama 60 tahun.

Sebab itu, apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan pun kita tengok kepimpinan UMNO yang tidak kekok dalam menerajui mana-mana kementerian dan agensi.
UMNO mesti berjiwa besar dan Presiden parti menganggap bahawa ini adalah satu ruang penting untuk kita membuka seluas-seluasnya pintu untuk mereka masuk ke Rumah bangsa ini tanpa syarat.

Sebab itu, ada jawatankuasa Rumah Bangsa, untuk memudahkan proses ini dan kalaupun ada kekangan dalam peraturan ataupun perlembagaan, kita permudahkan. Kalau perlu pinda, kita pinda peraturan untuk terima keahlian dan sebagainya, dan jawatankuasa ini akan bentang pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 17 April ini.

Dalam jeda waktu yang ada ini (kita manfaat) untuk kita pujuk mereka, berikan semangat kepada mereka untuk kembali ke Rumah Bangsa.

TIADA DASAR UMNO YANG BOBROK
Adakah dengan penyertaan semula ini membantu dalam meningkatkan keyakinan tambahan untuk menghadapi pilihan raya akan datang?
Ya, itu mungkin, sebagai sebuah parti politik, kita tidak pernah rasa apologetik bahawa UMNO perlu ada kuasa. Kerana kuasa itu penting untuk kita memartabatkan agenda agama, bangsa dan tanah air ini.

Kita tidak harus bersifat hipokrit seperti setengah pihak yang mengatakan, parti ini bukan parti untuk merebut kuasa. Kita pun bukan merebut kuasa, tetapi kuasa itu adalah mustahak untuk kita dapat.

Dalam sistem demokrasi yang memerlukan parti politik itu diwujudkan untuk bertanding dalam pilihan raya, dan pilihan raya itu adalah medan untuk mendapatkan kuasa, sudah tentu kita melihat apa juga cara untuk menguatkan parti, yang boleh memberikan kembali ataupun mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO yang terpalit dengan pelbagai persepsi.

Hari ini masyarakat mulai sedar tidak ada satu dasar yang UMNO lakukan itu yang bobrok atau buruk sifatnya. Bahkan semua dasar-dasar UMNO itu hari ini digunapakai oleh kerajaan hari ini.

Saya kira tidak ada masalah pun, hendak tukar jenama ke, mahu buat pembaharuan daripada segi peningkatan dan penambahbaikan dasar. Saya rasa itulah yang patutnya berlaku dari awal 2018 bila kita jatuh. Patutnya parti-parti pada waktu itu meneruskan dasar-dasar yang baik. Kalau mereka meneruskan dasar-dasar yang baik, tidak menolak keseluruhannya dasar-dasar yang telah pun diperkenalkan oleh UMNO, saya rasa mereka akan terus kekal sampai hari ini.

Tetapi apa yang mereka lakukan? Mereka tidak percaya kepada kakitangan awam. Mereka tidak percaya kepada sistem yang ada, mereka menolak semua dasar-dasar yang ada, memansuhkan GST. Tapi apa yang mereka janji mahu buat, mereka tidak boleh buat. Mansuhkan pinjaman PTPTN, tidak boleh buat.

Ternyata apa yang dicadangkan, yang dibuat, dilaksanakan zaman Barisan Nasional itu, ada yang baik. Kalau kita hendak sebutkan, terlalu banyak.

Tetapi bagi UMNO, kita tidak pernah pun kata – tengok itu dasar UMNO. Bagi kita daripada awal lagi kita konsisten. Apa sahaja dasar baik untuk rakyat, kita laksanakan. Anda hendak ambil kredit dengan nama yang baru pun, ambillah kredit, sebab yang paling penting, rakyat dapat manfaat.

Adakah bekas pemimpin dan ahli ini tidak mustahil boleh dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-16?
Soal keputusan itu (jadi calon) nanti adalah keputusan dan hak presiden untuk menentukannya.

Tapi bagi saya, presiden ini sudah sangat berjiwa besar untuk menerima mereka dan yang pentingnya ini bukan soal presiden. Kalau presiden memikirkan soal diri dia, kenapa dia perlu menyusahkan diri untuk berhadapan dengan mereka yang kebanyakannya penentang utamanya.

Tetapi presiden parti hari ini bukan bercakap soal dirinya, tapi soal masa depan parti.

Institusi ini perlu dikuatkan. Beliau bukan akan menjadi presiden selama-lamanya. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi institusi yang menjadi amanah kepada rakyat dan agama ini perlu kita pertahanan dan perkuatkan, dan saya rasa ini satu jiwa besar presiden yang luhur dan murni untuk mengukuhkan parti.

Biarpun kalau kita tengok, kalau sebagai seorang manusia biasa, dengan hentaman, kecaman, makian, fitnah dan tohmah yang dilakukan sebagainya, sudah tentu biasanya kita akan kecil hati, kita akan terasa, tetapi, atas dasar Rumah Bangsa, atas dasar agenda yang lebih besar, presiden tetap berjiwa besar untuk menggagaskan idea ini.

RUMAH BANGSA JADI ANCAMAN
Ada kalangan bekas ahli UMNO selain pemimpin parti lain terutama Presiden Pas menolak mentah-mentah agenda Rumah Bangsa dan kolaborasi agung malah melabel sebagai ‘rumah hantu’ serta hanya jerat politik, komen Datuk?
Itu terserah mereka, kita tidak pernah memaksa dan saya rasa orang yang mencetuskan persepsi-persepsi negatif kepada orang lain ini biasanya takut dengan bayang-bayang sendiri

Saya kira dalam konteks ini kalau Haji Hadi boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian bermakna dia merasakan bahawa Rumah Bangsa ini menjadi ancaman kepada beliau.

Tapi saya mahu kata di sini kalau benarlah kita ini berpegang kepada prinsip al-Quran, apa saja yang boleh menjernihkan kekeruhan, yang boleh merungkai kembali segala kekusutan, menguatkan balik kesepakatan dan silaturrahim serta ukhuwah persaudaraan, itu sepatutnya kita sokong, walaupun itu merupakan agenda pihak lawan.

Kerana itulah prinsip dakwah. Dakwah ini bukan melihat kelompok ataupun parti. Kalau kita seorang pendakwah, kita melihat apa yang dibuat oleh orang lain yang seiring dengan apa yang disemangati dalam al-Quran. Seperti disebut dalam surah al Hujurat, sesungguhnya umat Islam ini semua bersaudara. Kalau ada sedikit sebanyak perbalahan, perbaikilah di antara kamu. Baik pulihlah hubungan yang ada.

Jadi hari ini, apa yang UMNO buat atas semangat Rumah Bangsa ini untuk kembali menyatukan balik silaturrahim. Apakah itu suatu yang buruk sifatnya? Kalau perkara itu yang tidak sejajar dengan al-Quran, maka nyatakan apa yang tidak betul.

Tapi untuk memberikan persepsi ini rumah hantu dan sebagainya, saya rasa tidak wajar datang daripada seorang yang pemikirannya sering menjurus kepada dakwah.

REBUT JAWATAN, PROJEK
Ada juga yang menolak kerana tidak yakin UMNO akan berubah dan masih dengan persepsi mereka yang mahu menyertai parti ini demi mendapatkan jawatan, kuasa dan projek?
Saya rasa tidak betul. Saya tengok hari ini bila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan, apa yang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO yang memegang tampuk dan teraju kementerian ataupun mana-mana agensi, yang kita buat adalah untuk rakyat.

Saya sebagai Setiausaha Agung, diberikan amanah oleh parti untuk menjadi Pengurusi Mara. Ramai orang kata, tidak payah saya terlibat dengan politik dan sebagainya.

Saya jadi Pengerusi Mara, ini memang jawatan politik. Ya, kerana Mara itu dilahirkan daripada rahim UMNO, untuk orang Melayu dan Bumiputera.

Maknanya kalau ada orang kata Mara ini adalah institusi yang tiada kaitan dengan politik, tidak betul, sebab agenda Bumiputera itu agenda politik yang mana kita hendak bangunkan pendidikan dan keupayaan daripada segi perniagaan, pembangunan usahawan dan sebagainya.

Jadi kalau kita bercakap soal dalam konteks ini, apakah kuasa itu tidak penting? Ya penting. Kita kena menjadi kerajaan, kita kena menang pilihan raya, untuk apa? Untuk memberikan manfaat yang lebih besar maknanya kepada rakyat dan negara. Soal (dapat) projek , buktikan siapa yang pegang jawatan ambil projek.

LABEL UMDAP
Adakah label ‘UMDAP’ yang merujuk kerjasama UMNO dan DAP dimainkan sesetengah pihak jadi punca usaha ke arah penyatuan Melayu dan ummah masih belum berjaya direalisasikan?
Saya rasa ini hanya alasan sahaja, kalau mereka ikhlas sebenarnya, dari awal lagi mereka berada dalam kerajaan, kerana kerajaan ini bukan kerajaan UMNO dengan DAP.
Kerajaan ini adalah kerajaan yang dibentuk oleh 18 parti politik. DAP adalah salah satu

Apa tujuannya hanya menyebut UMNO dengan DAP saja? Sedangkan di dalamnya ada GPS , GRS, Amanah, PKR. Kenapa hanya fokus kepada UMNO-DAP? Itu saja pun kita boleh tengok bahawa ada udang di sebalik batu. Ada maksud negatif yang tersirat.

Hari ini saya tanya ada tidak satu contoh di mana UMNO mengikut telunjuk DAP? URA pun kita bantah, akhirnya ditarik balik oleh Kabinet, jadi itu satu contoh yang mudah.

Jangan sentuh bab-bab melibatkan sensitiviti orang Melayu. Setakat ini, kita dapat mentadbir kerajaan dengan penuh stabil, kerana apa? Sebab adanya nilai hormat. Kalaupun ada suara-suara nyamuk, buat apa kita hanya memperkirakan suara nyamuk itu, sedangkan perkara dasar kita boleh pertahankan dan kita dapat laksanakan.

UMNO 80 TAHUN
Menjangkau usia 80 tahun UMNO, apa hala tuju dalam mengekalkan dominasi politik dalam negara?
Yang paling penting, menjelang 80 tahun UMNO, penyegaran idealisme itu harus dilakukan dengan mengambil kira cabaran dan realiti zaman yang sudah pun berubah. Kita tidak boleh lagi bernostalgia dengan pencapaian lampau, yang anak muda hari ini pun tidak semestinya menghargainya. Tetapi yang paling penting, kita harus menyediakan tawaran dan juga harapan baru kepada anak-anak muda.

Dengan segala pengalaman yang UMNO ada, memimpin, mengurus organisasi dan negara tanpa mencairkan apa juga prinsip dan juga idealisme perjuangan yang terkait dengan Islam, Melayu Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya.

Sebab itulah, apabila Presiden memulakan agenda Rumah Bangsa, ini sebagai satu pendekatan untuk menyegarkan kembali idealisme UMNO, yang mana UMNO itukan bermula dengan soal mengumpulkan seramai mungkin kepimpinan-kepimpinan orang Melayu daripada pelbagai pertubuhan, individu dan sebagainya dan dimuktamadkan di Istana Johor.

Keputusan SPM 2025 menunjukkan peningkatan ketara kecemerlangan MRSM, apa faktor yang menyumbang kepada itu?
Saya rasa pertama sekali, komitmen dan juga dedikasi semua pihak, guru-guru, ibu bapa, memainkan peranan besar. Motivasi pelajar-pelajar pun tinggi.

Kita sudah merencanakan satu program pelan strategik akademik ini dalam tiga hingga empat tahun dan menjadi sebahagian Pelan Transformasi Mara.

Yang kita hendak melihat secara holistik pembangunan pelajar ini bukan sahaja kecemerlangan daripada segi akademik tetapi juga daripada segi kemenjadian pelajar itu sendiri daripada segi akhlak, sahsiah, keterampilan dan kepimpinan.

Saya nampak bila kita menerapkan dasar mengulul albabkan seluruh MRSM, saya sebutkan, barokah al-Quran ini sebenarnya besar kesannya apabila pelajar-pelajar ini bukan hanya dalam konteks akademik ini sahaja tetapi setiap pagi mereka akan bermula dengan al-Quran.

Kalau dulu hanya MRSM tertentu sahaja yang fokuskan soal penghafalan al-Quran, tetapi hari ini semua MRSM yang sekurang-kurangnya kita sasarkan bila dia habis sahaja tingkatan lima, mereka sudah habis lima juzuk

Jadi mereka sudah ada rutin setiap hari. Semua ini memberi kesan keberkatan, ilmu dan juga meningkatkan nilai motivasi pelajar.

Kita juga pastikan supaya suasana pembelajaran itu sentiasa kondusif, tandasnya elok, dewan seleranya sempurna, makanannya memang antara hidangan-makanan yang terbaik.

Jadi, ini semua memberikan sedikit sebanyak kesan yang positif kepada pelajar dan ibu bapa merasa bahawa anak-anak mereka terjaga dengan baik. Malah kalau kita tengok pun, kes-kes disiplin pun menurun dengan drastik terutama membabitkan buli.

MERAKYATKAN MARA
Selain bantuan berterusan Mara kepada pelajar cemerlang, bagaimana pula dengan mereka yang kurang berjaya dalam akademik terutama kalangan B40 dan golongan miskin?
Sebab itu, saya menggunakan hashtag Merakyatkan Mara. Apa makna merakyatkan Mara? Mara ini bukan institusi baharu, tahun ini kita merayakan ulang tahun ke-60, cuma ramai lagi di luar sana yang tidak tahu, kurang memahami dan tidak ada maklumat berkenaan peluang-peluang yang ada dalam Mara ini.

Maka, kita merubah pendekatan kita daripada kita menanti orang datang kepada kita, kita kena pergi kepada masyarakat. Kita kena merakyatkan diri kita kepada masyarakat.

Dalam dunia hari ini, tidak semestinya hanya memfokuskan secara fizikal turun ke kampung ke desa dan sebagainya, yang itu kita pergiatkan tetapi yang paling penting di media sosial semua platform ini kita ada Facebook, Threads, Instagram, TikTok, ini semua media yang boleh kita dekatkan masyarakat.

Secara peribadi, saya akan merasa berdosa dan rasa sedih sekiranya saya tahu seorang yang tidak sambung belajar hanya kerana faktor kemiskinan dan ramai yang saya telah temui begini sifatnya kerana tidak tahu apa ruang-ruang yang ada.

TERJAH DITERUSKAN, KEKANG KARTEL
Adakah pendekatan ‘terjah’ ke institut pendidikan di bawah Mara akan diteruskan?
Selagi mana saya memegang amanah ini saya akan teruskan. Saya boleh melihat sendiri realiti yang ada. Yang paling penting, saya mahu pastikan setiap sen yang kita telah putuskan untuk diperuntukkan kepada institusi pendidikan ini benar-benar sampai dengan cara yang paling berkesan dan dibelanjakan dengan betul.

Jadi melalui terjah juga saya berjaya memecahkan kartel-kartel yang selama ini menjadi duri dalam daging yang menyebabkan penyediaan makanan itu pun di bawah kualiti yang ditetapkan.

Setakat ini proses pemutihan kartel ini berjaya, saya rasa dalam tempoh tiga tahun ini, banyak sudah penambahbaikan yang dilakukan. Komitmen serta dedikasi pegawai dan pengurusan Mara juga amat tinggi kerana saya selalu tekankan dan ingatkan kepada mereka, bahawa yang kita pegang ini adalah amanah.

Sebab itulah menyambut 60 tahun Mara ini juga, kita letakkan tema menjunjung amanah dan itu paling penting sekali. Kalaupun kita boleh lari daripada tanggungjawab ini, kita kena ingat bahawa kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab kita dengan Allah SWT.

Bagaimana dengan keadaan pelajar tajaan Mara yang berada di kawasan bergolak terutama dalam konflik di Asia Barat?
Kita sentiasa memantau pelajar-pelajar kita yang berada di Asia Barat iaitu di Mesir dan Jordan. Di Mesir kita ada 178 pelajar manakala 519 di Jordan. Kita juga sentiasa berhubung dengan Wisma Putra untuk melihat segala risiko yang terkait dengan mereka.

Kita ada pegawai kita yang berpusat di sana, kita ada pejabat di Mesir dan juga di Jordan yang memantau 24 jam keadaan pelajar-pelajar ini di sana. Jadi apa juga perkembangan semasa yang berlaku kita akan ambil kira. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN