MUKADIMAH
Penyatuan parti-parti Melayu merupakan kunci utama kepada kestabilan politik negara. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, TAN SRI ANNUAR MUSA berpandangan, kekuatan sebenar orang Melayu tidak terletak pada jumlah sokongan semata-mata, tetapi pada kesediaan pemimpin untuk mengutamakan perpaduan berbanding kepentingan peribadi, kuasa dan jawatan.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, walaupun rakyat di peringkat akar umbi dilihat cenderung kepada kesatuan, perpecahan dalam kalangan elit politik telah menggagalkan usaha membina muafakat yang tulen.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, keadaan itu menyebabkan parti Melayu gagal membentuk kekuatan kolektif yang mampu menjamin kestabilan, sekali gus membuka ruang ketidakseimbangan dalam landskap politik negara.
MINGGUAN MALAYSIA: Tan Sri kerap membuat kenyataan menggesa kepada pembentukan penyatuan Melayu tetapi dalam keadaan dinamika politik ketika ini, bagaimana untuk menjayakannya?
Penyatuan Melayu bukan satu perkara payah. Ia sangat bergantung kepada pemimpin. Sebenarnya penyatuan Melayu kalau dilihat kepada orang Melayu, agak bersatu. Boleh dikatakan 70 peratus orang Melayu, bila UMNO dilihat bukan lagi menjadi penyatu tapi mereka (orang Melayu) masih pergi kepada PN dan majoriti PN yang didukung, ditunjang oleh Pas dan Bersatu, mendapat undi banyak secara tiba-tiba, bermakna rakyat tidak berpecah.
Tapi walaupun tidak berpecah, sudah cukup untuk UMNO guna sokongannya yang 20 peratus itu pergi campur dengan pihak lain. Maka parti yang tidak berteraskan Melayu tetap juga berkuasa.
Maknanya, kalaupun orang Melayu di bawah bersatu, tapi kalau pemimpin tidak mengutamakan perpaduan Melayu, Islam, maka perkara itu tidak boleh wujud.
Sedangkan kenapa saya sangat merasakan penyatuan Melayu itu penting? Penyatuan umat Islam itu penting kerana keadaan negara kita itu sendiri, sejarah dan demografinya memerlukan kepada satu formula yang boleh menjamin kestabilan sebenar.
Sebab itu, saya katakan dalam negara kita ini kalau Islam itu tidak diletak pada tempatnya dan kalau orang Melayu tidak mendapat tempat, rasa terancam dan sebagainya, keamanan sebenar tidak akan wujud ini yang kita lalui dalam peristiwa 13 Mei dan sebagainya.
Sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia apa formula yang terbaik?
Bagi saya adalah formula politik yang sederhana, politik yang kelompok teras yang merujuk kepada orang Islam dan orang Melayu itu mesti terlebih dahulu bersatu.
Kalau kelompok teras ini tidak bersatu, kita jangan mengharapkan ada penyatuan ataupun muafakat nasional yang tulen. Jadi, segala-galanya kena bermula dengan orang Melayu yang kebetulan pula orang Melayu itu adalah Islam. Kalau orang Islam tidak bersatu, maka negara ini akan jadi negara yang tetap pincang.
Sebab saya tidak fikir kesatuan yang tidak mempunyai tali ikatan akan longgar. Sedangkan kita tahu Islam itu berpegang teguh kepada tali Allah. Islam itu sepatutnya menjadi faktor pengika kerana Islam itu mengajar muafakat, menjaga amanah dan sebagainya. Ikatan itu lebih tulen.
Kita sudah bernasib baik di Malaysia ini orang Melayulah orang beragama Islam tapi kita tidak memilih untuk melaksanakan apa yang dipandu dalam Islam. Di sinilah cabarannya. Parti-parti Melayu pakai nama Melayu, nama bersatu, tapi dalam amalan dan realiti tidak bersatu.
REBUT KUASA DAN BERSAING
Adakah kerana berebut kuasa dan jawatan yang tidak berkesudahan mengehadkan usaha untuk jalinan kerjasama tulen antara parti politik Melayu?
Ya, sebenarnya kerana apabila sudah masuk dalam politik, tidak dapat tidak akan ada persaingan. Perebutan jawatan dan sebagainya. Akhirnya, kita lupakan prinsip asas yang diberikan oleh Islam.
Kita ambil politik Machiavelli, perlahan-lahan secara tidak sedar, jadi matlamat menghalalkan cara. Apabila matlamat menghalalkan cara, politik tidak ada panduan Islam inilah yang menyebabkan mudah berpecah belah.
Sekali lagi, kembali kepada Islam. Contoh macam politik, Islam mengajar orang menjaga maruah, menjaga harta dan keturunan. Apa lagi Islam suruh? Politik itu fardu kifayah. Menjaga urusan orang Islam adalah tanggungjawab yang fardu kifayah. Jadi, benda itu semua adalah ajaran agama. Tapi kita berpolitik, kita tidak ambil panduan.
Ini apabila sampai satu masa, kita kejar benda yang nampak depan kita. Datanglah politik kebendaan, politik yang macam saya kata tadi matlamat menghalalkan cara. Sebab itu, saya yakin sekarang ini terutama sekali Pas, sebab kuat pegang pada prinsip Islam, Pas memimpin penyatuan itu.
Namun ada pihak beranggapan kerjasama Muafakat Nasional ini sudah terkubur?
Iyalah, kata terkubur dari sudut UMNO yang meninggalkan benda itu, tapi kalau tanya Pas, terkubur atau tidak? Pas kata tidak. Sampai sekarang pun Pas menjadikan sebahagian daripada dasar.
Terus membuka pintu kepada penyatuan walaupun Pas dilanyak itu ini.
Contoh yang berlaku di Negeri Sembilan, UMNO hanya ada 14 kerusi, maka Pas dan PN sedia bagi kerjasama. Ini satu contoh menunjukkan jika adanya penyatuan Melayu dan Islam. Sebab kena fikirkan apa yang baik bagi matlamat perjuangan. Kalau matlamat perjuangan hendak orang Melayu, orang Islam kuat, jawapannya mesti bersatu.
Dalam al-Quran banyak sekali ayat, jangan bercerai-berai, jangan bertelagah, nanti hilang kekuatan. Itu semuanya menerangkan ke arah penyatuan. Kenapa kita tidak ikut?
UMNO ‘PROPA’ LEBIH
Tan Sri kekal dengan pendirian menolak untuk sertai Rumah Bangsa, namun Setiausaha Agung UMNO baru-baru ini memaklumkan lebih 10,000 mohon untuk sertai, adakah itu tanda UMNO kembali dipercayai?
Cuba tanya balik, adakah UMNO kalah waktu ahli tidak ramai? Dan tidakkah UMNO kalah ketika ahlinya paling ramai? Ketika UMNO ada ahli sejuta, UMNO tidak kalah. Ahli UMNO naik 1.5 juta, tidak kalah, UMNO kalah bila? Ketika katanya ahli ada tiga juta lebih.
Yang kedua, adakah UMNO ini kalah di tempat yang tidak ada ahli atau kalah di tempat yang ramai ahli?
Dalam Malaysia ini, bahagian paling ramai ahli UMNO di Gombak, tapi UMNO kalah di Gombak. Kedua, paling ramai (ahli UMNO) di Kemaman, UMNO kalah di Kemaman. Di Sabah, UMNO yang paling ramai di bahagian Silam, UMNO kalah di Silam.
UMNO itu menang bukan atas ramai atau tidak ramai ahli. UMNO kena belajar pada sejarah. UMNO tidak kalah waktu ahlinya sedikit malah dapat undi banyak.
Parti DAP hanya ada 200,000 ahli tapi dapat 40 kerusi. UMNO ada tiga juta lebih ahli, hanya dapat 26 kerusi, ahli Pas satu ketika tidak sampai pun sejuta tapi dapat 40 kerusi.
Taktik menguar-uarkan kita ramai ahli ini sebenarnya lapuk, yang lebih penting yang patut UMNO dan parti lain buat melihat kepada dasar-dasar kita. Rakyat tidak memilih kerana kita ‘claim’ kita ada ahli ramai maka dia undi kita.
Bagaimanapun saya tumpang gembiralah kalau kata kononnya sekarang ini ramai yang masuk jadi ahli. Tapi oleh kerana saya juga datang daripada parti itu, saya tahu sikit sebanyak, kadang-kadang ‘propa’ lebih.
Ramai ahli UMNO yang dalam sistem UMNO itu meninggal dunia pun tidak dikeluarkan daripada senarai, sudah tukar parti pun tidak dikeluarkan, senarai itu jadi kumulatif, makin ramai, keluarnya tidak sedangkan orangnya sudah tidak ada.
Pengalaman saya dalam UMNO, UMNO tidak kalah waktu ahli sikit tapi UMNO kalah waktu ahli banyak. Di Ketereh, waktu ahli UMNO antara 12,000 hingga 13,000, saya dapat undi 25,000, sekarang ahli UMNO kononnya dekat 20,000, UMNO dapat undi hanya 16,000.
BEZA ANTARA PAS DAN UMNO
Apa perbezaan berada dalam Pas berbanding ketika bersama UMNO?
Terlalu banyak. Sebab itu, orang kata kalau sesuatu itu berlaku yang ditakdirkan Allah berlaku pada kita, kadang-kadang kita tidak nampak hikmah di belakang.
Saya yang telah memilih dan sukarela menjadi ahli UMNO, seawal saya masih lagi pelajar, umur 18, 19 tahun, saya sudah menjadi ahli UMNO dan kekal dalam UMNO lebih dari 40 tahun.
Saya memberikan hampir dua pertiga hayat saya korbankan untuk UMNO, kemudian di hujungnya saya difitnah. Di saat saya berjuang mempertahankan supaya UMNO ini jangan lari pada landasannya, jangan salah pilih kawan, jangan buat benda yang menyebabkan orang Melayu marah.
Bila saya dibuang, dan beberapa kawan dibuang, dikatakan bersihkan UMNO untuk lebih kuat. Tapi akhirnya jadi sebaliknya. UMNO hilang kerusi dan sebagainya. Ini pada saya takdir Allah dan saya setelah tidak ada UMNO, apa pilihan yang ada sebab saya mahu berjuang kerana saya hendak tengok orang Melayu dan Islam berkuasa dalam tanah airnya dan dapat mengubah dasar, membuat sesuatu yang bagi kebaikan kepada rakyat.
Apabila UMNO sudah lari jauh daripada apa yang kita harapkan terutama sekali memilih untuk bergabung dengan pihak yang menentang dasar UMNO, tapi pihak yang sama dasarnya, terutama dari sudut Islam, kita tidak ambil buat kawan. Maka saya ditakdirkan menjadi ahli Pas, dan sekarang ini, terbukti ini adalah satu rahmatullah. Ini kerana bila saya masuk dalam Pas, walaupun saya 30-40 tahun dalam UMNO, saya anggap macam satu pengalaman baru.
Berbanding dengan UMNO yang siang malam tahunya politik, politik, politik sedangkan Pas parti politik yang berdakwah dan mentarbiah. Maka, saya tengok skop kegiatan dalam Pas itu lebih luas dan sentiasa rujuk kepada al-Quran dan sunnah. Pas tidak sempurna tapi saya dapat bezakan, Pas lebih bersungguh mengaitkan perjuangan politiknya dengan apa yang dituntut dalam Islam.
Pas juga tidak mentarbiah orang masuk parti hendak peruntukan, mahu duit, masuk parti hendak bajet. Pas mentarbiah, siapa yang masuk parti kena bersedia berjuang, berkorban, menderma dan menyumbang.
Setiap hari banyak kawasan Pas lancarkan program infak subuh, sumbang sedikit pada perjuangan. Akhirnya kita lihat kekuatan Pas itu lebih mendasar sebab itu kita tengok biarpun sedikit perlahan, kekuatan makin bertambah. Sekarang Pas juga penuh dengan golongan profesional dan cerdik pandai, dan bagi saya inilah parti masa depan.
TIDAK MAHU PENTINGKAN CITA-CITA PERIBADI
Adakah Tan Sri melihat kemungkinan untuk bertanding pada PRU-16?
Saya fikir satu, dalam berpolitik ini, jangan rancang agenda peribadi. Sebab kalau orang yang merancang agenda peribadi, dia akan cari jalan untuk nak capai kerja peribadinya.
Pada saya pendekatan yang paling baik ialah apabila kita diberikan peluang untuk bekerja, tunaikan dengan cara beramanah, dengan cara yang sebaik mungkin. Yang lain itu, kita serah kepada partilah untuk menentukan.
Saya sudah jadi calon tujuh, lapan kali. Sudah jadi ahli Dewan Negeri, Dewan Negara, Dewan Rakyat, menteri berkali-kali. Tidak patut orang macam saya duduk menanam cita-cita, mementingkan cita-cita peribadi saya.
Sebab itu sekarang, saya menumpukan kepada apa amanah diberikan. Tugas saya membantu parti Pas dan Perikatan Nasional mengikut kemampuan yang saya ada. Perkara lain itu biarlah Allah SWT menentukan. Jiwa kita pun tenang.
Kalau kita tanam cita-cita peribadi, tapi tidak dapat kita kecewalah. Saya sudah tiada benda-benda begitu. Saya cuma hendak fikir satu perkara sahaja, mahu tengok politik orang Melayu kuat, berada dalam satu saf. Cari titik persamaan, letak tepi dulu titik perbezaan. Mulakan dengan parti-parti Melayu dan parti-parti Islam, tanpa meminggirkan atau membenci parti yang bukan Melayu, bukan Islam.
Dengan perbalahan secara terang dalam PKR yang juga sebahagian parti membentuk kerajaan hari, adakah itu satu peluang terbaik untuk Pas dan PN dalam PRU-16?
Kalau kita perhatikan setiap kali pilihan raya, kita jelas rakyat nekad dalam membuat keputusan sebab rakyat ini tidak boleh nak disogok-sogok. Misalnya dulu saya berhempas pulas pertahankan 1MDB sampai kemudian pilihan raya kecil kita menang dan kita rasa ok, tapi datang pilihan raya umum 1MDB membuatkan rakyat tukar satu kerajaan.
Seperti juga pilihan raya yang lepas bila UMNO dilihat tidak lagi mengutamakan penyatuan Melayu dan dah pergi kepada DAP dan sebagainya, rakyat nekad hukum UMNO, habis.
Sekarang pergi Melaka, kubu UMNO, satu kerusi parlimen pun tak ada. Tak usah kiralah Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Pada pengalaman saya, rakyat Malaysia bila tiba untuk membuat keputusan, mereka akan melaksanakannya. Jadi, kalau untuk PRU 16, saya rasa rakyat sekarang tertunggu-tunggu untuk menggunakan mandat yang mereka ada untuk memilih kerajaan yang lebih baik.
Saya yakin maksud kerajaan yang lebih baik itu, kerajaan sedia ada akan dikalahkan, kerajaan yang sedia ada ini juga akan ditinggalkan oleh rakan-rakan mereka sendiri. GPS ke lain, GRS ke lain, BN ke lain dan PH ke lain.
Sebab apa? Kerana mereka sudah baca sentimen rakyat. Buktinya di mana? Lihat di Sabah. Mana mungkin Perdana Menteri yang turun dengan protokolnya, dengan duitnya, bajetnya dan turun berulang kali, tapi rakyat tidak undi. Begitu juga UMNO di sana.
Maknanya apa? Maknanya jangan pandang rendah rakyat. Serupa juga, kalau kerajaan sewaktu diberi peluang oleh rakyat, tapi gagal. Kena bersedia untuk terima hukuman rakyat. Bila janji tidak ditunai, mereka tidak boleh lari daripada hukuman rakyat. Rakyat tidak akan memilih kerajaan yang gagal. Rakyat tidak akan memilih kalau kerajaan itu menyeleweng, menyalahgunakan kuasa. Itu saya yakin.
Jika penyatuan ummah antara Pas-UMNO menjadi kenyataan, mungkinkah kita akan melihat keputusan berbeza dalam PRU-16?
Jika UMNO dan Pas bekerjasama maka saya yakin parti Melayu lain akan sertai sama. Sebab magnet ada pada dua parti ini. Ia akan membuka pintu kepada yang lain, parti kecil dan parti bukan Melayu sama pun akan turut datang berteduh.
Apabila itu berlaku, ramalan saya parti-parti yang bersama dengan katalah PN-BN ini, muafakat ini akan menguasai politik Malaysia semula dan ia akan membentuk satu kestabilan yang sangat kuat pasca PRU-16.
Kalau UMNO dengan Pas bergabung, kemudian didukung oleh parti lain, saya meramalkan dua pertiga daripada kerusi (Parlimen) ini akan berada pada satu kelompok.
Oleh kerana kelompok ini adalah yang tidak ekstrem, kelompok lain yang di luar dari gabungan itu juga akan terselamat maka akan terbentuklah satu pemuafakan nasional yang kuat yang memberikan kestabilan sebenar kepada politik negara pasca PRU-16.
Apabila kestabilan itu terwujud kita akan dapat menjadikan kerajaan pasca PRU 16, sebuah kerajaan yang fokus kepada agenda rakyat.
Tidak macam sekarang ini jadi masalah konflik dalaman sana, konflik sini dan akhirnya dasar pun tidak jadi konsisten sebab hendak buat dasar takut ada (parti) yang lari, takut Sarawak lari, takut UMNO lari, jadi dasar itu tidak mantap kerana pakatan itu sendiri berada dalam keadaan tidak konsisten.
Ambil contoh, dasar diesel sahaja, antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ada perbezaan ketara. Kenapa menggunakan dua set yang berbeza?
Maka, balik kepada isu tadi, kalau orang Melayu dan orang Islam semua parti ini bergabung, kita dapat bentuk satu kerajaan lebih stabil pasca PRU-16. Gunakan kestabilan itu untuk membaiki negara, dasar luar, dasar kesihatan, pendidikan, monetari, fiskal, ekonomi. Ini semua akan jadi kuat apabila ada kestabilan sebenar.
PN, BERSATU DAN RESET HAMZAH ZAINUDDIN
Bagaimana Pas sebagai peneraju PN hendak mendamaikan pertembungan antara kumpulan dalam Bersatu dan kumpulan reset Datuk Seri Hamzah Zainuddin?
Saya ingat ini adalah perkara normal. Serupa juga kalau kita lihat dalam Pakatan Harapan (PH) ada juga kumpulan Rafizi, dalam Amanah, UMNO serupa juga, ada kumpulan bertembung.
Sebab kita ini badan politik, akan bertemu titik-titik masa tertentu yang kita kena menguruskan perbezaan. Dalam politik ini soal pendapat dan soal pendirian kadang-kadang ada yang sama ada yang tidak sama.
Apabila Pas memimpin PN, apa yang ada dalam PN itu menjadi tanggungjawab kita secara bersama, kolektif kita akan uruskan perkara itu dan sekarang ini pun Alhamdulillah (terkawal), walaupun kadang-kadang orang tekan hendak suruh selesaikan cara mereka. Tidak. Kita yang memimpin PN, kita ada cara sendiri. Kita tidak mudah bertindak balas. Kalau orang cakap, sekarang hendak suruh lantik terus ketua pembangkang – tidak, kita kaji, kita susun, kita duduk berunding untuk mendapat keputusan yang bagus.
Apa juga masalah yang ada di PN ini adalah cabaran dan banyak lagi bukan sahaja satu dua isu, bukannya hanya soal Bersatu, kita ada banyak lagi dalam PN ini. Misalnya, kita hendak ubah pendekatan sebagai pembangkang. Kita tidak mahu PN jadi parti pembangkang yang hanya pandai mengkritik. Pengkritik paling hebat sekali, rakyat itu sendiri. Parti politik yang jadi pembangkang tugas utama bukan mengkritik saja lagi, tapi kena menyediakan alternatif.
PN tidak mahu ikut jajaran kerajaan sekarang yang hanya pandai membangkang. Dahulu, masa kritik bunyi hebat. Ada formula hendak buat itu ini, sampai masa tidak buat pun. Contoh sekaranglah. Rakyat mahu uruskan kos sara hidup pun susah. Polisi dan dasar tunggang langgang. Maka, PN sedang membuat persiapan menyusun dasar-dasar alternatif dan menjadi satu parti gabungan yang policy driven.
BERSATU KELUAR PN
Tan Sri bagaimana kalau kumpulan yang ada dalam Bersatu memilih untuk keluar PN, adakah terjejas kekuatan gabungan?
Saya rasa tidak elok kita bercakap soal kalau, sebab tidak akan habis. Kenapa pula Bersatu hendak keluar? Cakap soal kalau, kalau Pas pula keluar macam mana?
Kita tidak perlu bincang kalau, kita mesti objektif, Bersatu apa matlamatnya, apa yang perlu kita buat dan apa yang perlu kita perbaiki. Apa kekuatan kita perlu gunakan. Kalau kita spekulatif, kita akan duduk dalam keadaan khayalan tidak habis, jadi tidak perlu spekulatif, sebaliknya jadi realist dengan apa yang ada di hadapan kita. – MINGGUAN MALAYSIA










