SONGKHLA (THAILAND): Sekurang-kurangnya 56 rakyat Malaysia kini menjalani hukuman penjara di enam penjara di Selatan Thailand dengan majoritinya terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah dan menjadi keldai akaun penipuan dalam talian.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, jumlah itu adalah berdasarkan rekod yang diserahkan oleh pihak penjara di 15 wilayah Selatan Thai sehingga 3 September lalu.
Katanya, jumlah itu membabitkan 30 orang menjalani hukuman di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat; Penjara Na Thawi di Songkhla (12); Penjara Pusat Songkhla (9); Penjara Pusat Wilayah Surat Thani (2); Penjara Pusat Wilayah Yala (2) dan Penjara Pusat Wilayah Satun (1).
Namun beliau katanya, jumlah berkenaan mungkin lebih kerana ada penjara yang tidak memberi laporan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Daripada jumlah yang dipenjara itu, 44 didapati bersalah kerana kes berkaitan dadah dengan majoritinya terlibat dengan penyeludupan; keldai akaun (4); kesalahan berkaitan imigresen (2); mencuri (2); senjata api (1); dan kesalahan lain (3).
“Setakat maklumat yang diperoleh rakyat Malaysia yang ditahan di penjara berkenaan dijatuhi hukuman penjara antara setahun hingga 37 tahun. Seorang daripadanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala seorang lagi berdepan hukuman mati kerana terlibat dalam kes pembunuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmad Fahmi memberitahu, pihaknya melakukan lawatan konsular secara berkala ke penjara berkaitan, selain membantu mengesan dan menghubungkan mereka dengan waris di Malaysia.
Katanya, dua pertemuan diadakan pada Mac dan Jun lalu di Penjara Pusat Narathiwat serta Songkhla bagi memberi nasihat berkaitan proses perundangan termasuk imigresen sekiranya terdapat banduan yang akan dibebaskan.
“Kami mengadakan kira-kira lima lawatan konsular setahun di penjara bagi bertemu banduan rakyat Malaysia.Bagi banduan yang akan dibebaskan, konsulat akan mengeluarkan Sijil Perakuan Cemas kepada banduan individu itu supaya mereka dapat kembali ke Malaysia,” ujarnya.
Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi, menghormati dan tidak mengambil mudah undang-undang sekiranya mereka berada di Thailand.
“Pejabat diplomatik tidak mempunyai kuasa dan perlu menghormati pelaksanaan proses undang-undang negara tempatan sekiranya hukuman telah ditetapkan,” katanya. – UTUSAN











