Buma si ‘puteri kuat mengadu’

Buma si ‘puteri kuat mengadu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gemar mengadu kepada pemiliknya setiap kali diganggu ‘abang-abangnya’ antara telatah Buma yang mencuri perhatian netizen dalam media sosial.

Kucing betina kacukan Scottish Fold dan British Shorthair berusia setahun sembilan bulan itu sering mengiau sambil menunjukkan wajah sedih setiap kali diusik, sekali gus membuatkan netizen menggelarnya Princess Buma.

Bentuk telinganya yang seakan-akan tiada pula membuatkan Buma turut dikenali sebagai Bumaemon kerana mengingatkan orang ramai kepada watak animasi Doraemon.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemiliknya, Nurulhuda Rashid, 36, berkata, Buma mempunyai perwatakan lembut dan tidak banyak kerenah, malah lebih gemar menghabiskan masa dengan tidur.

Menurutnya, Buma sering menjadi mangsa usikan dua ekor ‘abangnya’, Kenzo dan Jibu, yang gemar menggigit telinga serta memukulnya.

Namun, setiap kali diganggu, Buma tidak memberikan sebarang tindak balas selain membuat wajah sedih sebelum mengadu kepada pemiliknya.

“Buma ini kucing yang suka tidur dan tidak banyak kerenah. Kalau hujan atau guruh, Kenzo dengan Jibu sudah menyorok sebab takut, tetapi Buma relaks sahaja.

“Abang-abangnya selalu kacau, ada yang suka gigit telinga atau pukul ia. Tetapi ia tidak respons, cuma suka buat muka sedih,” katanya kepada Seri.

PANTANG DIGANGGU, TERUS MENGADU

Menurut Nurulhuda, perangai Buma yang suka mengadu itu menjadi antara perkara paling ketara membezakannya daripada kucing lain di rumah.

Katanya, Buma akan mengiau tanpa henti apabila bersamanya, terutama selepas diganggu abang-abangnya.

Malah, kucing itu juga memberikan respons terhadap setiap perkataan yang diucapkan pemiliknya.

“Kalau saya bercakap dengannya, Buma akan respons kepada setiap perkataan. Ia memang suka mengadu, terutama selepas kena kacau dengan abang-abangnya.

“Selalunya ia mengadu kepada saya sahaja. Sebab ia satu-satunya kucing betina dan perwatakannya lembut, netizen suka cakap ia kuat mengadu,” katanya.

SI GARANG

Buma mula dipelihara Nurulhuda ketika berusia tiga bulan selepas diberikan oleh seorang rakan.

Menurutnya, Buma mempunyai pertalian adik-beradik dengan Jibu kerana berkongsi ibu yang sama, tetapi berlainan bapa.

Nurulhuda terlebih dahulu mengambil Jibu selepas ibu kucing berkenaan dijangkiti parvovirus ketika anak-anaknya berusia sebulan.

Apabila ibu kucing itu melahirkan anak sekali lagi, rakannya kemudian memberikan Buma pula untuk dipelihara.

Menariknya, Buma yang kini dikenali sebagai kucing manja sebenarnya lebih garang berbanding abang-abangnya ketika mula-mula dibawa pulang, malah kerap menyembur sepanjang proses menyesuaikan diri.

“Waktu mula-mula ambilnya, Buma lagi garang daripada abang-abangnya. Tetapi sekarang ia paling manja dengan yang lain. Pernah sekali semua kucing berada dalam bilik, cuma Buma sahaja di luar. Ia mengiau tidak berhenti-henti mencari abang-abangnya,” ujarnya.

KUAT MAKAN

Dari segi pemakanan, Buma antara kucing yang tidak cerewet kerana boleh menerima hampir semua jenis makanan, termasuk ayam rebus dan makanan kering (kibbles).

Nurulhuda berkata, meskipun Buma paling muda antara kucing peliharaannya, berat badan Buma pula paling tinggi berbanding abang-abangnya.

Malah, Buma juga gemar mencari makanan sehingga snek kucing (treats) yang terjatuh tidak terlepas daripada menjadi buruannya.

“Kalau ada treats yang terjatuh, mesti berlubang atau hancur dikerjakan Buma,” katanya.

Kini, Buma bersama adik-beradiknya turut menjadi duta produk Furvit (Nutrilick) selain aktif bekerjasama dengan jenama makanan kucing Bite Of Wild.

Selain selera makannya, satu lagi telatah Buma yang menarik perhatian Nurulhuda ialah tabiatnya tidur dalam keadaan terlentang.

Katanya, dia sendiri baru mengetahui perbuatan itu dikatakan sinonim dengan baka Scottish Fold.

SUKA MENDEKAT

Di sebalik perangainya yang gemar mengadu, Buma juga mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan kemanjaan terhadap Nurulhuda.

Buma suka berada dalam ruang yang sama dengannya, namun tidak terlalu gemar duduk rapat, asalkan pemiliknya berada berdekatan.

Malah, setiap kali Nurulhuda tidur, Buma akan datang menggeselkan kepala pada pipi dan dagunya untuk mengejutkannya.

Setiap kali Nurulhuda pulang ke rumah pula, Buma akan menunggunya sebelum menggeselkan kepala pada kaki pemiliknya.

“Ia clingy, suka duduk dalam ruang yang sama dengan saya, tetapi kena ada jarak. Asalkan saya ada, sudah cukup,” katanya.

Bagi Nurulhuda, keistimewaan Buma terletak pada perwatakannya yang suka mengadu dan gemar mengiau, berbeza daripada tanggapan sesetengah netizen terhadap kucing baka sepertinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini