NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) berharap Malaysia terus memainkan peranan berkesan sebagai fasilitator bagi memastikan Proses Dialog Damai Selatan Thailand mematuhi prinsip keadilan, kemanusiaan dan hak asasi demi mengurangkan penderitaan rakyat di wilayah berkenaan.
Jurucakap Sekretariat Rundingan Damai BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, rundingan antara BRN dengan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP-RTG) adalah jalan ke arah mencari penyelesaian politik yang adil, menyeluruh dan berkekalan.
Katanya, Malaysia diharap dapat memastikan proses rundingan berjalan lancar, teratur, inklusif dan berterusan dengan mengambil kira kepentingan rakyat Patani.
“BRN berharap Kerajaan Malaysia melalui peranan fasilitatornya terus memainkan peranan yang berkesan dalam memastikan proses rundingan berjalan dengan lancar, teratur dan inklusif serta berterusan dengan mengambil kira kepentingan rakyat Patani.
“Di samping itu, ia mesti menghormati prinsip keadilan, maruah kebangsaan, kemanusiaan dan hak asasi masyarakat yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia bagi mengulas pelantikan Datuk Ahmad Norihan Jalal sebagai fasilitator baharu Kerajaan Malaysia dalam Proses Dialog Damai Selatan Thailand.
Terdahulu, Ahmad Norihan dilapor dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang baharu. Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai fasilitator yang mendapat kepercayaan semua pihak, selain memberikan momentum baharu kepada proses dialog damai berkenaan.
Dr. Nikmatullah berkata, BRN meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Norihan untuk menggalas tanggungjawab sebagai fasilitator antara pergerakan itu dengan Kerajaan Thailand.
Katanya, pelantikan itu adalah amanah dan tanggungjawab besar dalam meneruskan proses dialog damai serta rundingan ke arah penyelesaian politik yang adil, menyeluruh dan berkekalan.
“Kami berharap pengalaman, kebijaksanaan, kewibawaan dan komitmen beliau dalam menjalankan tanggungjawab ini dapat membantu membina keyakinan antara kedua-dua pihak, iaitu BRN dan PEDP-RTG.
“BRN juga berharap beliau dapat memperkukuh kepercayaan kedua-dua pihak terhadap proses rundingan dan mewujudkan suasana dialog yang konstruktif serta berorientasikan hasil,” ujarnya.
Dr. Nikmatullah berkata, BRN percaya rundingan damai mampu membuka ruang kepada penyelesaian politik yang dapat menangani akar umbi konflik, membina perdamaian tulen serta menjamin masa depan yang lebih aman, bermaruah dan berkekalan.
“Kami berharap pelantikan Ahmad Norihan menjadi titik pengukuhan baharu kepada proses rundingan damai antara BRN dengan PEDP-RTG, berlandaskan semangat saling menghormati, kesungguhan dan kejujuran dalam dialog bagi mencapai penyelesaian yang dapat diterima semua pihak,” katanya. – UTUSAN











