KUALA LUMPUR/BANGKOK: Dua dekad selepas pemberontakan yang mengorbankan ribuan nyawa di selatan Thailand, sebuah kumpulan pemisah Melayu-Islam, Barisan Revolusi Nasional (BRN), berikrar minggu ini untuk terus berjuang sehingga matlamat untuk menubuhkan negara Islam merdeka di selatan Thailand dipenuhi.
Jurucakap delegasi rundingan damai BRN, Nikmatullah Seri berkata, kumpulan itu mahu kuasa politik yang menunjukkan ia akan memerintah di empat wilayah di selatan negara itu.
“Selagi objektif kami belum tercapai, kami akan terus berjuang,” katanya kepada AFP dalam satu wawancara yang jarang diberikan di sebuah hotel di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur
Anggota-anggota BRN memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam merdeka di wilayah selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam sejak 1960-an, walaupun konflik semasa bermula pada 2004.
Nikmatullah berkata, rundingan damai sejak 2013 terjejas akibat ketiadaan pengantara Malaysia tetapi BRN berpotensi mengadakan rundingan saluran belakang dengan Thailand pada Oktober.
Namun, proses itu berulang kali menemui jalan buntu dan Bangkok menggantung rundingan pada Julai selepas satu serangan yang mengorbankan lima anggota tentera.
Wilayah selatan itu pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Patani yang berteraskan Melayu-Islam, tetapi kemudian diirampas oleh Thailand yang ketika itu dikenali sebagai Siam pada awal 1900-an.
Sejak 2004, lebih 7,000 orang termasuk anggota-anggota pemisah, pasukan keselamatan Thailand dan orang awam terbunuh, menurut pemantau Deep South Watch.
Sejak 2005, wilayah itu ditadbir di bawah undang-undang keselamatan khas yang membolehkan pihak berkuasa Thailand menahan suspek tanpa pertuduhan dan mengenakan perintah berkurung, sekali gus mengundang kritikan kumpulan hak asasi.
Pada hujung bulan lalu, beberapa pejabat kerajaan tempatan dan kenderaan mengalami kerosakan atau musnah dalam 51 serangan di selatan Thailand tetapi tiada sebuah kumpulan mengaku bertanggungjawab melakukannya.
Nikmatullah bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan tanggungjawab BRN terhadap peningkatan keganasan baru-baru ini, tetapi berkata, kumpulan itu merupakan penggerak utama perjuangan.
Beliau berkata, kumpulan itu telah mencadangkan perkongsian kuasa dengan Bangkok dan membayangkan BRN akan mengambil alih pemerintahan tanpa pilihan raya.
Wilayah itu akan ditadbir oleh polis dan mahkamah syariah berdasarkan undang-undang Islam tetapi hanya bagi orang Islam, katanya.
”Akan ada tempoh peralihan selama lima atau 10 tahun ketika kami memerintah. Selepas itu, kami akan menyerahkannya kepada rakyat untuk memilih secara demokratik,” tambahnya.
Nikmatullah berkata, masyarakat Melayu-Islam berdepan diskriminasi yang jelas terhadap bahasa dan budaya mereka serta tidak pernah berasa selamat, tetapi dakwaan itu ditolak oleh Thailand.
Ketua perunding Bangkok, Thanut Suvarnananda memberitahu media tempatan pada Ogos bahawa tiada perbincangan mengenai pemisahan wilayah selatan Thailand di meja rundingan.
Sebaliknya, Thanut yang dilantik pada April berkata, kawasan gencatan senjata dan pengurangan sekatan jalan raya serta langkah keselamatan lain yang mengganggu kehidupan seharian sedang dipertimbangkan.
Memakai jaket kulit hitam dan songkok, iaitu penutup kepala hitam tradisional yang dipakai lelaki Islam, beliau enggan mendedahkan secara jelas tempat tinggalnya.
Namun, beliau mendakwa BRN mendapat sokongan penduduk tempatan dan dibiayai melalui sumbangan anggota.
Nikmatullah berkata, BRN mengambil pendekatan jangka panjang dalam perjuangan mereka.
“Ini bukan perjuangan yang singkat. Ia akan mengambil masa yang panjang,” katanya
Nikmatullah berkata, sayap ketenteraan BRN merekodkan kematian 1,000 pejuang sepanjang dua dekad lalu.
Namun beliau berkata, peperangan adalah jalan terakhir.
“Kami tidak menyasarkan golongan yang tidak berdaya sasaran kami ialah kerajaan,” kata perunding itu, yang dilahirkan di selatan Thailand dan menyertai BRN pada usia 18 tahun.
Pada Julai, lima anggota tentera Thailand terbunuh dalam serangan tembakan dan bom di sebuah sekatan jalan raya yang turut mencederakan enam orang awam, menurut pihak berkuasa Thailand.
Nikmatullah enggan berkata sama ada BRN terbabit: “Kami bukan ejen risikan untuk penjajah.” – AFP











