PETALING JAYA: Kesinambungan dasar pembangunan perlu diberi perhatian bagi memastikan projek pelancongan berskala besar yang dirancang di Melaka tidak terus tertangguh akibat perubahan pentadbiran kerajaan negeri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengalaman pelaksanaan projek Melaka Gateway menunjukkan pentingnya komitmen berterusan kerajaan dalam merealisasikan perancangan pembangunan yang mampu merancakkan sektor pelancongan negeri itu.
Beliau berkata, hasrat Pakatan Harapan (PH) menerusi manifestonya untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Melaka kepada 25 juta orang menjelang 2030 hingga 2032 perlu disokong dengan penyediaan kemudahan dan infrastruktur mencukupi.
Malah, beliau mempersoalkan sasaran berkenaan yang disifatkan tidak begitu tinggi berbanding jumlah pelancong yang sudah direkodkan ketika ini.
Menurutnya, kedatangan pelancong bukan bergantung semata-mata kepada sasaran angka yang diumumkan dalam manifesto, sebaliknya turut dipengaruhi kemudahan dan pengalaman yang ditawarkan sesebuah destinasi.
“PH hendak sasar pelancong 25 juta sahaja, sedangkan sekarang pun sudah 19 juta. Pertumbuhan cuma enam peratus, sedangkan sekarang sudah 25 peratus setahun.
“Pelancong bukan datang ke sesuatu tempat hanya kerana angka yang disebut dalam manifesto. Orang akan bertanya mengapa mereka perlu pergi ke situ.
“Apa kemudahannya, bagaimana keadaan jalan raya, kesesakan, makanan, tempat penginapan dan layanan yang diberikan kepada pelancong,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, perancangan pembangunan infrastruktur pelancongan di negeri itu sudah dimulakan sejak pentadbiran terdahulu, termasuk projek Melaka Gateway yang dirancang sebagai terminal kapal persiaran terbesar di Asia Tenggara.
Katanya, projek berkenaan dirancang mempunyai kapasiti menampung sehingga enam kapal persiaran pada satu-satu masa.
“Bayangkan, satu kapal persiaran boleh membawa sehingga 5,000 penumpang. Kalau ada enam kapal, jumlahnya boleh mencecah 30,000 orang.
“Sebab itu apabila bercakap mengenai sasaran jumlah pelancong, kita sebenarnya sudah menyediakan kemudahan untuk membawa mereka datang,” katanya.
Beliau berkata, perancangan itu turut merangkumi penyediaan jeti serta rundingan awal dengan syarikat kapal persiaran dan pengendali pelabuhan bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan Melaka Gateway berdepan beberapa perubahan susulan pertukaran kerajaan negeri yang menyaksikan keputusan berkaitan projek itu turut berubah.
“Pada mulanya, lesen pelabuhan dibatalkan apabila berlaku pertukaran kerajaan. Kemudian, rundingan dihidupkan semula sebelum ada pula keputusan mengatakan projek itu sukar dilaksanakan dan dibatalkan.
“Selepas itu, di bawah kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, projek berkenaan diteruskan semula,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kesinambungan perancangan pembangunan perlu dipastikan supaya projek yang sudah dirangka tidak berulang kali berdepan perubahan keputusan sehingga menjejaskan usaha memajukan sektor pelancongan.
“Pertukaran kerajaan ini sebenarnya satu perkara yang akhirnya merugikan rakyat Melaka,” katanya. – UTUSAN











