KUALA TERENGGANU: Felda akan berada dalam kedudukan bahaya bencana kewangan sekiranya pelupusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 juta bilion tidak disertakan dengan sebarang peruntukan daripada kerajaan.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, dokumen yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan sebahagian daripada perjanjian terkait jaminan kerajaan kepada Felda.
“Apabila hutang peneroka dilupuskan, Felda diminta ambil sukuk. Felda perlu bayar sukuk. Tanpa sebarang jaminan kerajaan, Felda akan berhadapan bahaya bencana kewangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas kontroversi antara Anwar dan Muhyiddin yang masing-masing mendakwa menyelesaikan hutang peneroka sehingga Perdana Menteri kelmarin mengemukakan bukti beliau menandatangani dokumen pelupusan hutang berkenaan Jun lalu.
Ditanya mengenai tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu meneruskan tindakan saman fitnah kerana menganggap dokumen itu bukan pelupusan hutang peneroka Felda, Ahmad Shabery memberitahu, keputusan Muhyiddin itu akan mendedahkan kelemahan beliau dalam urusan tersebut di mahkamah nanti
“Sebab itu, ada dalam kalangan penyokong mereka menyebut perjanjian jaminan kerajaan tidak dibuat semasa dia menjadi Perdana Menteri sebab dia bukan Menteri Kewangan. Ini alasan lemah, dia sendiri masuk perangkap sendiri,” ujarnya.
Anwar kelmarin mengemukakan bukti beliau menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tetapi dinafikan bekas pegawai kepada Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad.
Marzuki yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan itu berkata, sebaliknya dokumen yang dibentang itu berkaitan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada 2020. – UTUSAN










