Pas dukung usaha penyatuan parti berteraskan Islam, Melayu

Pas dukung usaha penyatuan parti berteraskan Islam, Melayu

ANNUAR Musa ketika merasmikan Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas Negeri Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan Mualim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas sentiasa menyokong sebarang usaha ke arah penyatuan parti-parti politik berteras Islam dan Melayu termasuk kerjasama bersama kelompok bukan Islam yang tidak ekstrem, selagi ia berpaksikan prinsip perpaduan serta dasar perjuangan yang jelas.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian itu selaras dengan resolusi parti sejak beberapa tahun lalu yang meletakkan keutamaan kepada perpaduan politik Islam dan Melayu sebagai asas pembinaan kestabilan negara.

“Dasar Pas adalah jelas, kita mengalu-alukan apa sahaja usaha yang membawa kepada penyatuan dan perpaduan, khususnya dalam kalangan parti-parti Islam dan Melayu serta rakan bukan Islam yang sederhana.

“Namun setiap bentuk kerjasama mesti melalui tapisan parti dan berpaksikan dasar yang betul, bukan sekadar retorik politik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas Negeri Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan Mualim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan politik semasa termasuk kemungkinan PRN Melaka diadakan tahun ini, Annuar berkata, Pas kini giat memperkukuh persiapan akar umbi dengan pembukaan puluhan cawangan baharu di seluruh negeri sebagai langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, setakat ini hampir 40 hingga 50 cawangan telah ditubuhkan termasuk 20 yang baru diluluskan, manakala 30 lagi sedang dalam proses penajaan.

“Kita menjangkakan lebih banyak cawangan akan dibuka dan ini membuktikan penerimaan rakyat Melaka terhadap Pas semakin meningkat.

“Kita juga mengajak seluruh aktivis politik dan masyarakat setempat untuk bersama memperkukuh gerak kerja parti demi menghadapi PRN yang dijangka dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan Pas mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarang cadangan kolaborasi politik, namun setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi parti ke parti melibatkan Pas dan mana-mana pihak.

UMNO sebelum ini mengemukakan agenda Rumah Bangsa bertujuan menyatupadukan Orang Melayu secara menyeluruh merangkumi parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Annuar berkata, bagaimanapun setakat ini, pihaknya masih menunggu dan belum menerima perincian mengenai perkara itu daripada pihak yang mencadangkan agenda berkenaan.

Katanya, setakat ini agenda Rumah Bangsa hanya dikemukakan di peringkat Perhimpunan Agung UMNO dan tiada sebarang pertemuan rasmi membabitkan mana-mana parti terlibat diadakan setakat ini.

Tambah beliau, Pas juga telah mengemukakan cadangan penstrukturan semula Perikatan Nasional secara rasmi bagi memperkukuh gabungan itu sebagai sebuah entiti politik yang lebih berwibawa.

Katanya, proses tersebut memerlukan masa memandangkan ia kali pertama gabungan itu melalui fasa peralihan kepemimpinan, justeru semua pihak diminta memberi ruang kepada pimpinan tertinggi untuk menyelesaikannya secara matang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN