Lelaki disiasat biar rakan terkandas di gunung tertinggi Jerman

Lelaki disiasat biar rakan terkandas di gunung tertinggi Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Polis Austria menyiasat seorang lelaki warga Jerman selepas didakwa membiarkan rakan wanitanya berusia 17 tahun terkandas di gunung tertinggi negara itu, Zugspitze, dalam suhu di bawah paras beku.

Remaja itu menghubungi talian kecemasan sebelum diselamatkan pasukan penyelamat pada ketinggian kira-kira 2,500 meter.

Mangsa mengalami hipotermia sebelum dibawa ke hospital di Garmisch-Partenkirchen, Jerman, berhampiran sempadan Austria, dan dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut undang-undang Austria, individu yang membahayakan keselamatan fizikal orang lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan.

Pasangan itu memulakan pendakian pada awal pagi Ahad dari pusat peranginan Ehrwald di wilayah Tyrol, Austria, bagi menyaksikan matahari terbit di puncak Zugspitze.

Suhu di kawasan pergunungan itu dilaporkan mencecah -12 darjah Celsius pada pagi kejadian, menurut seorang anggota pasukan penyelamat gunung kepada Agensi Akhbar Jerman (DPA).

Keadaan cuaca buruk menyebabkan kedua-dua pendaki itu terpaksa meredah salji sehingga paras lutut, sekali gus menjejaskan rancangan mereka untuk menuju ke puncak Zugspitze yang berketinggian 2,962 meter.

Mereka dilaporkan berpisah sebelum lelaki berusia 21 tahun itu meneruskan perjalanan turun seorang diri. Bagaimanapun, sebab mereka berpisah masih belum diketahui dan jurucakap polis enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Seramai tujuh anggota penyelamat gunung dikerahkan selepas menerima panggilan kecemasan itu sebelum sebuah helikopter digunakan untuk membawa remaja berkenaan keluar dari kawasan pergunungan.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans. Walaupun remaja itu terselamat, kejadian di Zugspitze pada Ahad mengingatkan insiden maut yang berlaku di puncak tertinggi Austria, Grossglockner, pada Januari 2025.

Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 33 tahun maut akibat kesejukan selepas ditinggalkan teman lelakinya di kawasan pergunungan berkenaan.

Lelaki itu kemudian didapati bersalah atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kecuaian melampau.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini