KYIV: Jerman memperkukuh sokongannya terhadap Ukraine dengan mengumumkan bantuan ketenteraan bernilai AS$1 bilion (RM4.08 bilion) dalam menghadapi perang dengan Russia.
Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, Berlin tidak akan tunduk kepada tekanan untuk menghentikan sokongan kepada Ukraine ketika mengumumkan bantuan itu semasa lawatan ke Kyiv kelmarin.
Beliau berkata, Jerman akan membiayai pengeluaran bersama dron bagi memintas dron berkuasa jet Russia, susulan kemajuan teknologi yang dicapai dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan dijangka mempercepatkan pengeluaran.
Ketika bercakap bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Merz turut mengumumkan peruntukan 350 juta euro (RM1.6 bilion) bagi membaik pulih sektor tenaga Ukraine.
Pegawai Jerman berkata, eksekutif syarikat yang menyertai lawatan Merz turut menandatangani 14 perjanjian dengan Ukraine bernilai kira-kira 6.6 bilion euro (RM30 bilion).
Perjanjian itu termasuk dengan syarikat pertahanan Jerman, Diehl Defence bagi pembekalan peluru berpandu pertahanan udara IRIS-T. Ia turut meliputi perjanjian dengan Hensoldt bagi peralatan radar dan Quantum Systems untuk dron pemintas berkuasa jet.
Merz berkata, bantuan kewangan Jerman bukan semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Ukraine, sebaliknya turut berkaitan kepentingan keselamatan Eropah.
“Kami melakukannya demi kepentingan sendiri kerana ia berkaitan keselamatan Eropah,” katanya, sambil menambah Russia melancarkan serangan siber dan kempen penyebaran maklumat palsu yang menyasarkan demokrasi benua itu.
Kyiv berdepan serangan udara hebat dan berulang kali telah merayu agar dibekalkan lebih banyak peluru pertahanan udara bagi menangkis serangan dron dan peluru berpandu Russia.
Russia bagaimanapun menafikan tuduhan melancarkan peperangan hibrid itu, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan berpunca daripada histeria anti-Russia.
Lawatan Merz ke Kyiv turut berlangsung ketika ibu negara Ukraine digegarkan dengan bunyi siren serangan udara dan letupan berulang kali.
Sebuah dron Russia menyerang Jambatan Utara Kyiv yang merentasi Sungai Dnipro, sekali gus menjadikan serangan terhadap jambatan itu berlaku untuk hari keempat berturut-turut.
Jambatan berkenaan digunakan puluhan ribu penduduk untuk berulang-alik antara kedua-dua bandar itu.– AGENSI











